Nasionalpilihan

Faedah PERKESO bantu balu dan anak pemandu lori teruskan kelangsungan hidup

KESEDARAN majikan yang terus mencarum untuk pekerjanya walaupun sudah melewati usia 61 tahun, telah membolehkan keluarga pekerja tersebut menerima bantuan kewangan daripada Pertubuhan Keselematan Sosial (PERKESO) setelah beliau meninggal dunia akibat kemalangan berkaitan pekerjaan.

Mendiang Lee Eng Dong, pemandu lori di Solid Cool Marketing (Selayang) Sdn Bhd, syarikat pengeluar dan pengedar peti sejuk komersil, penyejuk beku dan lain-lain peralatan komersil, telah terlibat dalam kemalangan pada petang 15 Februari 2023 ketika bertugas membuat penghantaran. Nahas yang melibatkan sebuah treler, sebuah kereta Perodua Myvi dan lori yang dipandu Lee di KM 266.5 Lebuhraya Utara Selatan, menyebabkan Lee cedera serta tidak sedarkan diri.

Beliau dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak untuk menerima rawatan. Malangnya, selepas 12 hari bertarung nyawa, pada 27 Februari 2023 Lee disahkan meninggal dunia akibat kesan kecederaan parah di kepala (septic shock with underlying severe traumatic brain injury) berpunca daripada kemalangan tersebut.

Mendiang Lee meninggalkan seorang balu yang merupakan suri rumah sepenuh masa, Puan Edna Hipolito Amos, 58 tahun dan empat orang anak. Skuad PERKESO Prihatin yang mengetahui tentang kejadian ini dari media cetak, telah membuat semakan dan mendapati orang tanggungan Lee layak mendapat faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sehubungan itu, balu dan anak beliau yang berusia bawah 21 tahun layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT), sebanyak RM3735.00 sebulan. Puan Edna dan anak bongsu, Lee Zi Young, 19 tahun, menerima FOT mengikut bahagian masing-masing di mana Puan Edna akan menerima bayaran FOT seumur hidup manakala Zi Young sehingga berusia 21 tahun atau menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama. Keluarga tersebut juga menerima sekali bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Hari ini, Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V. Sivakumar, telah berkesempatan menziarahi Puan Edna serta anak-anak di kediaman mereka untuk bertanyakan khabar dan menyampaikan faedah PERKESO. Tuan V. Sivakumar, yang diiringi oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, telah menyerahkan bayaran FPM kepada Puan Edna. Turut hadir adalah Ketua Bahagian Sinergi, Encik Rahmat Ismail dan Pengarah PERKESO Kuala Lumpur, Encik Asri Ngosman.

Tuan V. Sivakumar menyeru para majikan supaya mencarum untuk pekerja mereka yang berumur lebih 60 tahun demi perlindungan mereka dan keluarga sekiranya terjadi musibah berkaitan pekerjaan. Di bawah Akta 4, majikan perlu membayar Caruman Jenis Kedua bagi pekerja yang berumur lebih 60 tahun, iaitu sebanyak 1.25 peratus daripada gaji bulanan pekerja tersebut, untuk perlindungan Skim Bencana Pekerjaan.

Beliau juga menasihatkan majikan dan pekerja agar membudayakan amalan pencegahan kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya. Pada tahun lalu, daripada 70,948 jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada PERKESO,

45.7 peratus (32,440 kes) melibatkan kemalangan jalan raya. Dalam tempoh tersebut, 70 peratus (651 kes) daripada 929 kemalangan maut melibatkan pekerja yang dalam perjalanan atau berulang-alik ke tempat kerja.

FOT merupakan satu daripada faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta 4, yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila pekerja yang dilindungi PERKESO disahkan meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan.

FPM pula adalah satu lagi faedah di bawah Akta 4 yang dibayar kepada waris apabila pekerja disahkan meninggal akibat bencana kerja ataupun meninggal atas sebarang sebab sebelum mencapai umur 60 tahun, mengikut kelayakan caruman. FPM juga dibayar kepada waris apabila pekerja yang menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya atau Pencen Ilat meninggal dunia tanpa mengira umur.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian Careline PERKESO 1-300-22-8000. – SM

Artikel berkaitan > Pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Perak dijangka siap hujung 2024

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button