KesihatanNasionalNegeri

Enam Langkah Holistik Perlu Dibenihkan Dalam Jiwa Rakyat Untuk Lawan Covid-19!

Umum mengetahui negara sudah mencapai tahap lebih 90 peratus rakyat di negara ini sudah menerima vaksinasi lengkap.

Namun demikian, ia tidak bermaksud kita sudah menang kerana masih ada banyak aspek yang perlu diambil kiranya.

Berdasarkan satu pandangan umum, Suara Merdeka menyenaraikan enam aspek yang perlu diberi perhatian secara konsisten.

1. Buat Ujian Kendiri Covid-19 Sebelum Balik Ke Kampung

Memandangkan kerajaan telah mengumumkan rakyat Malaysia sudah boleh merentas negeri, penting untuk kita bersikap telus dan amanah pada diri sendiri.

Antaranya perlu buat ujian kendiri Covid-19 sebagai langkah untuk memastikan diri kita bebas penyakit dan tidak menjadi penyebarnya di tempat baharu.


2. Penguatkuasaaan Rawak Wajar Diteruskan

Biar pun sudah tidak ada sekatan jalan raya (SJR) untuk melihat status rakyat Malaysia, penguatkuasaan rawak tetap perlu dijalankan sepanjang masa.

Kita tidak mahu ada rakyat Malaysia yang bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan memperlekehkan undang-undang kononnya ia bersifat bermusim.

3. Promosi Kesedaran Tentang Risiko Covid-19

Pihak berkuasa mahu pun NGO perlu mengambil langkah untuk menjalankan promosi secara konsisten tentang risiko Covid-19 tanpa henti.

Masyarakat perlu dididik tentang cara untuk menghindari sebarang risiko Covid-19 seperti sebelum keluar rumah (kendiri), perjalanan ke sesuatu lokasi, menunggu giliran di surau, tempat makan, kawasan rehat dan rawat sehinggalah amalan yang perlu dibuat semasa berada di kampung (pematuhan SOP).

4. Penegasan Daripada Pemilik Premis

Menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk semak MySejahtera individu yang ingin memasuki premis mereka namun semakin hari, banyak premis sudah mula buat-buat lupa atau malas untuk bertindak tegas.

Ada segelintir premis membiarkan individu masuk ke ruangan mereka tanpa mengimbas MySejahtera dan apabila datang pihak berkuasa buat semakan mengejut, barulah masing-masing menggelabah.

5. Teks Kreatif Untuk Edaran SMS Dan Kumpulan Whatsapp

Kementerian yang berkaitan atau pengendali rangkaian telekomunikasi perlu bekerjasama untuk terus menghantar teks kreatif kepada rakyat Malaysia untuk terus mematuhi SOP dan sentiasa beringat untuk melawan Covid-19.

Sekiranya teks yang dihantar adalah bersifat umum dan tidak menyentuh jiwa dan disiplin rakyat Malaysia, ia adalah satu pembaziran dan boleh dianggap sebagai satu usaha yang sia-sia kerana tidak mewujudkan masyarakat yang prihatin.

6. Lebihkan Pesanan Khidmat Masyarakat Untuk Semua Saluran Media

Negara sudah mencapai tahap lebih 90 peratus kadar vaksinasi lengkap namun di kaca TV, masih dimainkan klip-klip tentang kepentingan mengambil vaksin.

Sepatutnya untuk fasa ini, kaca TV, saluran radio dan media sosial khususnya, sudah perlu ada kandungan bersifat langkah penjagaan dan pencegahan di pelbagai lokasi.

Namun demikian, kandungan sebegini seperti masih kurang kecuali dibikin oleh golongan amatur sebagai inisiatif kendiri dan aspek pesanan khidmat masyarakat ini perlu diberi perhatian yang serius untuk meningkatkan tahap disiplin masyarakat.

(Visited 19 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button