MENYEDIHKAN apabila melihat empat ekor gajah ditemui mati bergelimpangan di Kampung Sri Timur, Kahang, Kluang Johor hari ini dipercayai diracun.
Bangkai-bangkai gajah itu ditemukan oleh pendudukan kampung dan ia turut tular di media sosial.
Memetik Sinar Harian, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Amin berkata, bedah siasat akan dilakukan ke atas bangkai empat ekor gajah itu bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan masih dijalankan selain bedah siasat terhadap empat bangkai gajah akan dilakukan hari ini.
Keputusan bedah siasat termasuk ujian kimia dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.
“Namun, setakat ini, kami tidak dapat mengesahkan empat gajah ini mati akibat diracun,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han, ketika meninjau lokasi penemuan empat bangkai gajah itu meminta orang ramai supaya tidak bertindak sendiri hingga menganiaya haiwan yang hampir pupus itu.
“Lapor kepada Perhilitan, PDRM atau ketua kampung sekiranya berhadapan masalah konflik dengan gajah bagi membolehkan pihak berkuasa ambil tindakan lanjut.
“Jabatan Veterinar juga sedang melakukan bedah siasat dan jika terbukti benar empat gajah itu mati diracun, PDRM sudah tentu akan mengambil tindakan susulan,” katanya. – SM