Mahkamah

Empat beranak mengaku tidak bersalah tipu projek pasir RM1 juta

MELAKA 20 Januari – Seorang bapa dan tiga anaknya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan menipu projek pasir yang tidak wujud bernilai RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Tiing Kong, 63, bersama tiga anaknya, Amy Wong E. Tim, 32; Felix Wong Sing Jie, 26; dan Wong Sing Kong, 42, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan.

Di hadapan Hakim Nariman Badruddin, Tiing Kiong didakwa atas dua pertuduhan iaitu dengan curang menipu, mendorong dan memperdayakan sebuah syarikat Chong Teamwork Marketing Sdn. Bhd. dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.

Tindakan itu menyebabkan syarikat terbabit membuat pembayaran RM1 juta melalui dua cek berasingan berjumlah RM500,000 setiap satu di sebuah bank di Melaka Raya, pada 19 April 2019.

Manakala di hadapan Hakim Maziah Joary Tajuddin pula tiga anak tertuduh yang turut didakwa atas pertuduhan sama juga mengaku tidak bersalah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, keempat-empat tertuduh yang juga pengarah sebuah syarikat yang sama dikatakan memperdaya sebuah syarikat, Chong Teamwork Marketing Sdn. Bhd. dengan menawarkan projek menggali pasir bernilai RM1 juta yang tidak wujud di Mukim Lepar dan Penor, Kuantan, Pahang.

Pembayaran diterima daripada syarikat tersebut yang dibuat melalui dua cek berasingan.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah bank di Taman Melaka Raya, kira-kira pukul 10.10 pagi pada 19 April 2019.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim. manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishna Raja.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan mereka perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Sebutan semula kes itu pula ditetapkan pada 21 Februari depan.

(Visited 443 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button