Rencah Hidup

Usia 107 tahun, tiada sakit kronik dan ingatan masih baik

ALOR GAJAH 20 Jan. – Pada usia menjangkau 107 tahun, Soh Tee Kong, yang juga bapa kepada legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun masih mempunyai kudrat mampu berjalan, bercakap, mempunyai daya ingatan dan mendengar dengan baik.

Pada usia satu abad, wargaemas itu tidak menghidap sebarang penyakit kronik malah masih mempunyai penglihatan yang tajam serta memiliki daya ingatan yang cerdas, kecuali menghadapi masalah sakit grastik namun ia tidak serius.

Tee Tong yang lahir pada 29 Julai, 1916 itu menetap di Jalan Kolam Air di pekan Alor Gajah, Melaka dekat sini mempunyai susuk tubuh yang kurus tetapi dilihat masih mempunyai kudrat mampu berjalan, bercakap, mempunyai daya ingatan dan mendengar dengan baik.

Bagaimanapun petang semalam, bapa kepada pemain pertahanan skuad bola sepak kebangsaan itu menerima kejutan apabila dilawati oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang turut menyampaikan sumbangan hamper dan angpau sempena sambutan Tahun Baru Cina, hujung bulan ini.

Kehadiran Ketua Menteri adalah menziarah bapa kepada legenda bola sepak negara itu selepas mendapat tahu usianya menjangkau 107 tahun dan masih sihat.

“Syukur…tuhan kasi umur saya panjang,” ujar ringkas Tee Tong ketika berbual dengan Sulaiman.

Malah sewaktu Ketua Menteri bertanyakan apakah rahsia pada usia 107 dia kelihatan sihat tidak seperti orang seusia dengannya, Tee Tong sambil berseloroh menjawab: “Saya hanya makan nasi.”

Sulaiman yang meluangkan masa hampir 25 minit itu turut melahirkan rasa kagum dan teruja melihat bapa kepada Chin Aun itu masih boleh berjalan, mendengar dan bercakap.

“Saya pun hairan juga dalam usia 107 tahun dia masih boleh berjalan, boleh menjawab soalan dan ingatan masih yang baik ketika berbual dengannya,” ujarnya.

Sementara itu Chin Aun berkata, walaupun bapanya sudah menginjak usia yang sering dikaitkan dengan masalah nyanyuk, perkara itu sama sekali tidak dialaminya malah dia masih mampu mengenali rakan-rakan lamanya.

Katanya, bapanya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung kecuali gastrik.

Menurutnya, sewaktu umur bapanya belum mencecah 90 tahun, dia boleh memandu kereta dan kerap keluar bersarapan dengan rakan-rakannya malah turut pergi berkaraoke.

“Saya mempunyai lapan adik beradik iaitu lima lelaki dan tiga perempuan. Kakak yang sulung berumur 80 tahun manakala saya 72 tahun. Kami semua masih hidup dan tidak mengalami penyakit kronik,” ujarnya lagi.

Chin Aun berkata, bapanya datang ke Tanah Melayu dari Tanah Besar China sewaktu berusia dua tahun.

Jelasnya, sebelum datang ke Tanah Melayu, bapanya pergi ke Singapura dan selepas beberapa tahun terus datang ke Melaka dan menetap di Alor Gajah serta membuka kedai runcit.

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button