Ekonomi

ECER tarik RM13 bilion pelaburan komited, lepasi sasaran 2021

WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM13.0 bilion, melepasi sasaran  Bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM12.0 bilion walaupun masih berdepan cabaran pandemik.

Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 10,600 peluang pekerjaan baharu serta 570 peluang keusahawanan di seluruh ECER.

“Kami telah mengambil peluang untuk bekerja dengan cara yang berbeza dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta berbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan juga Wakil Dagang Persekutuan Rusia di Malaysia dalam menganjurkan webinar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

“Pelaburan komited yang berjaya ditarik setakat ini adalah bukti kejayaan usaha ECERDC,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Majlis ECERDC.

ECERDC akan meneruskan usaha dalam menarik pelaburan baharu melalui kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkaitan untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke Wilayah ini dan ke Malaysia.

Bagi menjayakan usaha ini, Kerajaan Persekutuan telah meneruskan dasar mesra pelabur dan melanjutkan Pakej Insentif ECER sehingga 31 Disember 2022 bagi pelabur di ECER.

Mesyuarat Majlis ECERDC yang diadakan secara maya telah dipengerusikan oleh perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Majlis dan dihadiri oleh Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan; YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri
Besar Pahang; dan Datuk Ir. Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor.

Turut hadir adalah Senator Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); dan Tan Sri Mohd
Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.

Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC telah memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan projek-projek baharu di ECER diteruskan bagi mengekalkan daya saing ECER sebagai destinasi pelaburan.

Ini telah membolehkan ECER menarik lebih banyak pelaburan baharu ke sektor minyak, gas dan petrokimia  (OGP), pembangunan tanah tinggi bersepadu, pembuatan keluli, pembuatan sarung tangan dan produk-produk hijau serta tenaga boleh diperbaharui.

Di Kelantan, projek pembangunan Laman Warisan Kampung Laut Fasa 1 telah siap baru-baru ini. Kompleks ini akan menempatkan pengusaha serunding dan makanan tradisional tempatan yang akan beroperasi di Laman Warisan Serunding Kampung Laut.

Fasa 2 yang merangkumi Laman Warisan Seni dan penempatan semula Masjid Kampung Laut akan siap pada Mac 2022.

Projek ini akan mentransformasi Kampung Laut menjadi destinasi pelancongan dan budaya yang berkembang maju, manakala Tok Bali yang sedang dibangunkan akan ditingkatkan kapasitinya untuk menjadi pusat  pertumbuhan perdagangan serantau dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini.

Di Terengganu, ECERDC mengekalkan fokus untuk menarik pelaburan baharu terutama sekali ke Taman Biopolimer Kerteh (KBP) yang kini sedang menjalani kerja-kerja perluasan untuk Fasa 3B dan 4. Pelaburan utama lain termasuk perluasan loji bitumen dan juga kilang coke oven.

Di Pahang, pembinaan saluran air sepanjang 29km dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang dengan kapasiti jangkaan sebanyak 90 juta liter sehari akan memastikan bekalan air tidak terganggu dan memenuhi permintaan pelabur di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Projek ini dijangka siap menjelang April 2023.

Di Mersing, Johor, projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) sedang dilaksanakan. ECERDC dan Kerajaan Negeri Johor telah menandatangani Perjanjian Kerjasama pada 18 September 2021 untuk membangunkan projek JDV sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk mewujudkan Lembah Tenusu ECER.

Apabila ia beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, ianya dijangka akan menghasilkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun. Ini akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%.

JDV juga dianggarkan akan mewujudkan 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 peluang usahawan agro untuk warga tempatan di Mersing.

Projek lain yang sedang dibangunkan di Mersing adalah Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan hiliran dalam industri perikanan, Kampungstay di Air Papan iaitu  pembangunan inap desa berasaskan komuniti, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan Rainforest Discovery Centre di Peta yang terletak di Taman Negara Endau-Rompin (Johor).

Projek-projek ini akan membantu pertumbuhan jangka panjang di dalam sektor pelancongan di Mersing.

ECERDC juga telah mengenal pasti kawasan di negeri-negeri ECER bagi melaksanakan agrofood@ECER untuk projek tanaman kelapa, makanan haiwan dan fertigasi bagi menyokong inisiatif kemampanan bekalan makanan Malaysia.

 

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button