fbpx
Nasional

Ebit Lew harap dapat jadi inspirasi buat orang muda

PENDAKWAH bebas dan usahawan terkenal Ebit Lew yang sering meniti di bibir masyarakat kebelakangan ini berikutan sumbangannya dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan, diberikan penghargaan bagi kategori Anugerah Khas, Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2020.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2020 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Ebit Lew ataupun nama penuhnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, biarpun menganggap tidak layak untuk menerima anugerah berkenaan, beliau tetap bersyukur dan berharap anugerah itu sedikit sebanyak dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda.

“Saya sedar saya tidak layak dan ramai lagi orang yang berkorban dan berjuang, saya adalah orang yang kecil dalam kalangan yang ramai (membantu orang), tetapi saya bersyukur dan gembira kerana diberi penghargaan ini dan gembira dapat bersama dengan anak-anak muda.

“Anak-anak muda perlu berjuang dan apa sahaja kita buat, bila niat kerana tuhan, kita tidak akan berhenti buat baik. Kalau kita niat kerana orang, kita akan kecewa dan berhenti buat baik. Bayangkan kalau kita bantu masyarakat dan didik orang lain, jika tidak tanam keikhlasan itu, kita akan berhenti buat baik…sama ada dihargai, dikeji atau dipuji, kita perlu terus buat baik, yang penting Allah reda dengan apa kita lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan, di sini, hari ini.


Ebit Lew yang menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan hadiah berupa wang berjumlah RM10,000 itu adalah antara 13 individu yang menerima anugerah APBN 2020.

Sementara itu, penerima Anugerah Wira Belia COVID-19 Raudhatul Ain Rosni, yang meninggal dunia pada 5 Julai akibat leukimia, diangkat berikutan sumbangan kerja kebajikannya.

Bapanya Rosni Mat Shuhod, 67, dilihat sebak dan mengalirkan air mata ketika menerima anugerah berkenaan bagi pihak Allahyarham.

Ibu Raudhatul Ain, Safiah Serjuni berkata dia tidak menyangka anak perempuan tunggalnya itu aktif dalam membantu orang ramai memandangkan arwah adalah orang yang perahsia.

“Saya tidak menyangka dan tidak tahu segala kebaikan yang dia telah buat, kerana dia suka buat sesuatu secara senyap-senyap.

“Ketika hari kematiannya, ramai orang datang dan rentas negeri melawat. Saya sedih tetapi reda atas pemergiannya,” katanya sambil menambah anaknya masih membantu kawannya yang terjejas dalam perniagaan meskipun semakin teruk kesihatannya pada ketika itu.- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button