NasionalNegeri

DUTA Besar Malaysia ke Thailand puji Kampung Warna Warni

DUTA Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel memuji inisiatif menjadikan Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis berubah menjadi salah satu tarikan utama tempat yang menarik di Perlis.

Projek tersebut atas ilham Pemangku Raja Perlis, Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang disokong oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama beberapa agensi dan juga pihak swasta serta masyarakat setempat.

Beliau tidak menyangka kehadirannya dan delegasi disambut dan diraikan dengan begitu mesra sekali.

Cetusan idea transformasi diraja kampung nelayan ini didapati telah memberi nafas baru kepada penduduk setempat dan menjadikan kampung mereka semakin bersih hingga mampu menjadi tumpuan para pelancong.

Demikian dikongsikan oleh Jojie selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis dalam program ‘Kayuhan MAIPs Peduli’ yang bermula dan berakhir di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis baru-baru ini.

Program tersebut ialah sebahagian daripada aktiviti beliau dalam sesi lawatan kerja selama dua hari ke Perlis.

Ahli delegasi lain yang menyertai program ini ialah terdiri daripada ketua-ketua pelbagai agensi di Pejabat Perwakilan Malaysia di Bangkok yang turut merasakan kehadiran mereka sebagai pelawat amat disenangi oleh masyarakat setempat.

Penduduk kampung menegur serta ada yang mempelawa mereka dengan makanan yang enak seperti laksa Kuala Perlis.

Menyentuh mengenai program kayuhan pula, Jojie kagum kerana diberi kesempatan menyertai program unik ini di mana Tuanku Syed Faizuddin Putra meluangkan masa berangkat singgah ke rumah-rumah asnaf untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan MAIPs oleh Baginda sendiri sambil berbasikal.

Jojie yang mewakili delegasi daripada Bangkok itu juga turut menyampaikan sumbangan mereka kepada ketiga-tiga asnaf yang disantuni.

Pada kesempatan yang sama Pemangku Raja juga berharap agar hubungan baik antara Malaysia khususnya Perlis dan Thailand akan terus berkekalan dan lebih banyak bekerjasama di masa hadapan.

Untuk rekod, pengunjung boleh menyewa basikal, ‘choley’ dan Golf Buggy”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button