Dulu Neelofa nafi bercinta, tiba-tiba dah bertunang?
SEBELUM ini, selebriti, Noor Neelofa pernah menafikan hubungannya bersama dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.
Malah, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, memberitahu yang tiada sebarang jalinan hubungan istimewa di antara mereka berdua.
Namun, ibu kepada wanita itu, Noor Kartini Noor Mohamed bagaimana pun menimbulkan persoalan terbaharu mengenai status anaknya bersama pendakwah tersebut.
Dalam kapsyen yang baharu dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Noor Kartini memberi petunjuk yang anaknya kini sudah bertunang dengan pendakwah tersebut.
“Saat yang saya tunggu sudah pun tiba, Allah hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayangan saya.
“Saya yakin dengan ketentuan yang mana insan ini dapat membahagiakannya (Neelofa) menyerikan, melengkapi hidupnya dan yang akan menyokong setiap apa saja urusannya.
“Ya Allah jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewamu disyurga mu nanti.
“Neelofa ku sayang, jantung hatiku, intan permataku,setiap detik dan setiap saat mama mendoakan yang terbaik untuk mu sayang,” katanya dalam kapsyen gambar tersebut.
Dalam pada itu, status di Instastory Neelofa yang dimuat naik juga seakan-akan memberi gambaran tentang majlis yang diadakan hari Ini.
“Semoga hari ini kita diberkati Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih Allah kerana menyempurnakan perancangan ini,” tulisnya.
Setakat ini, belum ada pengesahan diberikan berkaitan dengan status Neelofa sama ada sudah bertunang atau pun tidak.
Pasti ramai peminat yang selama ini menyokong penuh kerjaya dan perniagaan Neelofa ingin tahu sama ada wanita itu sudah bergelar tunangan orang atau tidak. -SM