Ekonomi

Dua platform bergabung mudahkan usahawan kenderaan terpakai

KUALA LUMPUR – Platform dagangan kereta terpakai terbesar di rantau Asia Tenggara Carsome menjalin kerjasama dengan Funding Societies Malaysia iaitu platform pembiayaan rakan setara atau pembiayaan Peer-to-Peer (P2P).

Jalinan kerjasama di antara dua platform tersebut menawarkan pembiayaan peniaga kepada pengusaha kenderaan terpakai tempatan bagi pembelian kereta terpakai.

Menurut kenyataan Carsome, menerusi kerjasama tersebut sebanyak 1,600 pengedar kereta terpakai di bawah Carsome berpotensi menikmati pembiayaan berjumlah USD200 juta.

Jalinan kerjasama tersebut sejajar dengan matlamat kedua-dua pihak untuk memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia menerusi pembiayaan jangka pendek.

Ini pastinya dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan usahawan kenderaan terpakai khususnya pengedar kereta terpakai tempatan yang sering diabaikan.

Para pengedar kereta terpakai yang berdaftar dengan platform Carsome kini layak untuk menerima pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilai transaksi kereta terpakai melalui proses yang cepat lagi mudah.

Kelebihan utama pembiayaan peniaga yang ditawarkan oleh Funding Societies, ia terbuka untuk permohonan bagi mana-mana jenis perniagaan termasuk perniagaan tunggal, perkongsian dan sendirian berhad, melalui Carsome.

Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies, Wong Kah Meng berkata, produk pembiayaan pengedar diperkenal secara khusus untuk menangani pelbagai masalah berkaitan pembiayaan kereta terpakai konvensyenal.

“Sebagai contoh, tuntutan pembayaran pendahuluan nilai kereta sebanyak 100 peratus oleh PKS dan dokumentasi perniagaan yang rumit antara lain, menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan mereka dengan aliran tunai yang terhad.

“Di sini, kami berupaya menawarkan proses pembiayaan lancar menerusi teknologi dan automasi dan berupaya mempercepatkan keseluruhan proses serta mengurangkan kos untuk memenuhi keperluan pembiayaan PKS secara berdaya maju,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button