Nasional

Dua nama jalan di Pulau Pinang ditukar

DUA batang jalan raya di Pulau Pinang ditukar nama bermula hari ini iaitu sebahagian Jalan Ayer Itam kepada Jalan S. A. Abdullah Bukhari dan sebahagian Jalan Tengah di Bayan Lepas kepada Solok Dato Ismail Hashim bagi mengiktiraf serta menghargai sumbangan dua tokoh berkenaan kepada komuniti di negeri ini.

Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, cadangan permohonan Jalan S. A. Abdullah Bukhari dikemukakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Negeri Nama Geografi (JNNG) meluluskannya.

“Pertukaran nama ini bagi mengiktiraf dan mengenang jasa serta sumbangan Datuk S.A Abdullah Bukhari terhadap perkembangan syiar Islam di Pulau Pinang.
“Beliau berkebolehan memberi ceramah dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, Tamil dan Arab,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jalan yang dicadangkan ialah jalan sedia ada sepanjang 400 meter antara Jalan Scotland dengan Jalan Ayer Itam utama berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki).
Bagi pertukaran nama sebahagian Jalan Tengah kepada Solok Dato Ismail Hashim pula katanya, adalah untuk mengenang jasa sumbangan Datuk Ismail Hashim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan lepas dari tahun 1964 hingga 1974.
“Beliau juga pengasas bersama Koperasi Tunas Muda yang bertanggungjawab menerajui pengumpulan dana bagi memperoleh tanah untuk membangunkan Kampung Sungai Ara termasuk membina rumah mampu milik untuk orang Melayu dan Cina tempatan,” katanya.
Menurut Zairil, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Feb lepas meluluskan permohonan pertukaran dua nama jalan itu dan disahkan pada 6 Mac lepas manakala pertukaran berkenaan memenuhi syarat Garis Panduan Penentuan Nama Geografi oleh Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi 2019. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button