fbpx
Nasional

Dua kematian Covid-19, babit jemaah tabligh dan warga emas dari Sarawak

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini memaklumkan akhirnya terdapat dua kematian akibat jangkitan COVID-19.

Kedua-dua kes telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Kes ke-178 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling tempoh hari.

“Beliau mula mengalami gelaja demam mulai 5 Mac 2020. Beliau mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac 2020 setelah dikesan positif COVID-19.

“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba dalam kenyataan media.


Satu lagi kematian babitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Beliau mula mengalami gelaja demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac 2020.

“Beliau mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac 2020 setelah dikesan positif COVID-19.

“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac,” katanya.

Tambah beliau terdapat tujuh kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 49 kes,” katanya.

Sehingga tengah hari ini juga, jelas beliau, terdapat 120 kes baharu yang telah dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 673 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ia adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).

Katanya, kementerian memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil tindakan drastik ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara menghadkan pergerakan orang ramai.

“Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini daripada dijangkiti wabak jangkitan COVID- 19 yang kini telah memasuki gelombang kedua,” katanya.

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan di mana ia akan terus diberikan oleh KKM di kesemua fasiliti.

Begitu juga perkhidmatan kesihatan swasta, katanya, boleh diteruskan.

“KKM ingin menggesa orang ramai untuk mematuhi segala arahan berkaitan dengan perintah tersebut, yang akan dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 3020.

Kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342, iaitu:

i. kesalahan pertama, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya;

ii. kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya;

iii. kesalahan yang berterusan didenda selanjutnya tidak melebihi RM200.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Setiap individu perlu menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam membendung penularan kejadian COVID-19. Antara tindakan-tindakan yang harus diambil oleh setiap rakyat Malaysia bagi mencegah dan mengawal jangkitan COVID-19, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan adalah seperti berikut:

1. Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).

2. Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta.

3. Segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan / atau sakit tekak.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Show More

Related Articles

Back to top button