Kemalangan

Dua hari bertarung nyawa, akhirnya penunggang motosikal meninggal dunia

SELEPAS dua hari bertarung nyawa, akhirnya seorang pemuda yang sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, Melaka meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, mangsa, Muhamad, Alif Munif Hishaam, 22, dari Kampung Legong Ulu, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka sewaktu menerima rawatan akibat kecederaan parah di kepala dan badan kira-kira jam 1.00 petang ini.

Menurutnya, dalam kejadian jam 5.30 petang Ahad lalu, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150 dalam perjalanan dari Machap menghala ke Alor Gajah manakala pemandu kereta Honda CRV berusia 78 tahun datang dari arah Jalan Kolam menghala ke Machap.

Beliau berkata, sewaktu kereta dipandu warga emas itu keluar dari simpang tiga Jalan Kolam, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai melanggar bahagian tepi kanan kenderaan tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dua hari mendapat rawatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, lelaki warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan.

Sehubungan itu katanya, pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button