NasionalNegeri

Ladang bimbingan puyuh, ayam JPV Perlis mendapat permintaan  tinggi

TERNAKAN puyuh dan ayam kampung diklasifikasikan sebagai amat berpotensi ekoran mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Bak kata seorang penternak, ayamnya sudah siap ditempah sebelum membesar lagi.

Begitu juga dengan penternak burung puyuh yang mana dia mengakui sukar untuk memenuhi permintaan daging burung puyuh yang sangat tinggi.

Apabila permintaan terhadap kedua-dua jenis ternakan ini tinggi, sekaligus dengan peluang yang terbuka luas di bidang ternakan puyuh dan ayam, perlu diambil perhatian bagi yang berminat meneroka bidang ini.

Dr Adam Abdullah Kwan

Pengarah Veterinar Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan berkata, bilangan ternakan puyuh di Perlis meningkat tiga kali ganda dari 17,000 pada tahun 2015 kepada 50,089 ekor  seperti mana direkodkan pada tahun 2021.


“Bilangan penternak meningkat dari lapan kepada 24 ladang bagi tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keberkesanan insentif pembangunan industri puyuh bernilai RM125,000 yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis bagi tempoh bermula 2015-2021.

Adam berkata, ini sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara (2010-2020) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengalakkan pengeluaran ternakan puyuh dan ayam kampung bagi meningkatkan bekalan yang memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Antara ladang-ladang puyuh bimbingan JPV Perlis yang berjaya menghasilkan produktiviti yang tinggi di Perlis ialah Ladang Puyuh Kayangan dan Ladang AHA.

Sementara itu, pengamal media di Perlis dibawa melawat Ladang Puyuh Kayangan yang diusahakan oleh Siti Noor Hasmah Mohd Baharudin, 29, yang terletak di Felda Mata Ayer, dekat Padang Besar.

Siti Noor Hasmah berkata, sehingga kini ternakan yang diusahakan di belakang rumahnya mampu menghasilkan antara 3,000 hingga 4,000 ekor burung puyuh untuk daging.

Beliau berkata, puyuh yang diusahakan dari peringkat awal iaitu benih yang menetaskan anak sehinggalah matang.

Siti Noor Hasmah berkata, dia akan bekerjasama dengan JPV untuk membesarkan lagi ladang ternakan puyuh pada masa akan datang.

Sementara itu, berbalik kepada Adam, beliau berkata, industri ayam kampung juga dilihat semakin berkembang di Perlis

“Pada tahun 2021, 43 penternak dan 33,000 ekor ayam kampung direkodkan di negeri Perlis berbanding 24 ladang ternakan yang menghasilkan 16,000 ekor pada 2015,” katanya.

Beliau berkata, insentif pembangunan industri ayam kampung bernilai RM130,000 telah dilaksanakan oleh JPV Perlis bagi tempoh bermula 2015-2021.

“Pembangunan industri adalah dari segi agihan anak ayam kampung, mesin penetasan telur baka dan pembangunan penternakan bernilai-tinggi secara organik,” jelas beliau.

BT Farm di Bukit Temiang mengeluarkan ayam kampung yang mendapat permintaan tinggi terutama di Lembah Klang.

Dalam pada itu, antara ladang ayam kampung yang giat beroperasi di Perlis adalah Ladang BT (Bijak Ternak) Farm yang terletak di Bukit Temiang.

Pengarah Eksekutif Ladang BT (Bijak Ternak) Farm, Suliaman Awang berkata, ladang tersebut menternak dan mengeluarkan produk ayam kampung berjenama La Canggung.

“Ia jenama sendiri dan pengeluaran produk La Canggung turut dibekalkan sehingga ke Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini permintaan yang diterima oleh pihaknya sangat tinggi sehingga tidak mampu untuk memenuhi permintaan pengguna.

BT Farm setakat ini mengeluarkan ayam kampung kacuk dari baka Arab dan Mutiara untuk daging dan juga telur. – SM

(Visited 79 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button