Nasionalpilihan

Dua ADUN PN tolak tawaran Ab. Rauf sertai Kerajaan Perpaduan

HAJAT Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk melakar sejarah sebagai negeri sifar pembangkang tidak kesampaian apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) menolak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang ditawarkan.

ADUN Bemban yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, beliau dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (Sungai Udang) akan terus kekal di blok pembangkang.

Menegaskan perkara tersebut beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, sebuah kerajaan yang akan dilihat stabil perlu ada pembangkang bukan sahaja di Pusat tetapi juga di negeri-negeri.

“Saya dan ADUN Sungai Udang kekal di blok pembangkang dan bukan soal bagaimana kami nak melawan blok kerajaan yang jumlahnya sangat besar.

“Janganlah takut kepada kami pembangkang yang hanya berdua ini kerana kami kekal dengan prinsip menjadi pembangkang yang berwibawa untuk semak dan imbang kepada kerajaan Melaka yang kini dipimpin oleh Ab. Rauf.

“Kami akan mendengar suara hati dan membawa denyut nadi rakyat ini untuk kami perjuangkan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Yadzil mengulas kenyataan Ab. Rauf malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama menyuarakan hasrat mempelawa dua ADUN PN itu untuk menyertai negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan mewujudkan 10 jawatan Timbalan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam satu kerajaan yang kecil adalah satu pembaziran.

Menurutnya, peruntukan kepada dua ADUN pembangkang jauh lebih adil kepada rakyat daripada pelantikan timbalan Exco dan Exco sebagai negeri yang kecil.

“Kerajaan negeri sejak dari awal tidak mampu menyediakan peruntukan kepada dua ADUN pembangkang tetapi melantik timbalan Exco menjadikan 21 daripada 28 ADUN serta mustahil ia tidak melibatkan tambahan belanja yang besar.

“Saya dengar setiap timbalan Exco akan memiliki kenderaan rasmi dan pemandu. Ini sebenarnya memerlukan tambahan perbelanjaan yang sepatutnya disalurkan semula kepada rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, keputusan yang diambil oleh Ab. Rauf itu menggambarkan kerajaan negeri lebih mengutamakan keselesaan kepada ADUN dalam blok kerajaan berbanding membawa agenda rakyat.

Jelasnya, persoalan besar sekarang apakah kerajaan negeri akan lebih efisyen dan apakah kerajaan mampu menjana hasil berlipat kali ganda daripada barisan Exco dan timbalan yang ramai.

“Apakah Ketua Menteri terpaksa melantik barisan Exco yang besar ini kerana gabungan kerajaan Madani terbentuk di Melaka tidak stabil,” katanya lagi. – SM

Artikel berkaitan > ADUN PH sertai barisan Exco Ab Rauf, cerminan Kerajaan Perpaduan

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button