Nasionalpilihan

Dua ADUN PN dipelawa sertai Kerajaan Perpaduan

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang kini berstatus pembangkang dipelawa menyertai kerajaan negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof berkata, jika kedua-dua ADUN berkenaan iaitu Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (Sungai Udang) bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di negeri ini, Melaka bakal mencatat sejarah sifar pembangkang.

“Saya mengharapkan dua ADUN dari PN ini kalau ada hasrat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan kita sudi menerimanya.

“Harapan saya daripada 28 kerusi di dalam dewan kita dah ada lebih 26 kerusi ADUN kerajaan. Kita (Barisan Nasional) menang 21 kerusi, lima daripada blok Pakatan Harapan (PH) iaitu empat DAP, satu Amanah.

“Saya mengharapkan dua ADUN dari PN ini jika bersetuju, saya adalah orang yang paling gembira kerana Melaka bakal muncul negeri pertama sifar pembangkang,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) yang pertama di sini malam tadi.

Terdahulu Ab. Rauf menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media dan barisan Exco di Hotel Ames, Ayer Keroh di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, beliau memang menyasarkan sifar pembangkang apabila sidang DUN berlangsung nanti.

Sewaktu berucap pada majlis berbuka puasa Ab. Rauf berkata, beliau sudah cukup gembira kerana mempunyai 26 ADUN bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Ini bukan kebetulan atau dirancang tetapi dengan keizinan Allah s.w.t menemukan kita dengan jodoh-jodoh pertemuan yang cukup mantap. Kita sempurnakan pada majlis angkat sumpah barisan Exco,” ujarnya.

Beliau menegaskan, UMNO tidak akan mengadaikan Perkara 153 yang diperjuangkan sejak Merdeka walaupun dalam bentuk gabungan parti mana sekali pun.

Jelasnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan berlandaskan politik matang iaitu perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan dan kita menghilangkan prasangka antara kaum yang sebelum ini membelenggu rakyat. – SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button