Nasionalpilihan

PERKESO, JPM sediakan pekerjaan kepada bekas banduan

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) semalam telah memeterai Nota Kolaborasi (NoC) dalam usaha memperluaskan peluang kerjaya, meningkatkan kemahiran dan menyediakan perlindungan sosial kepada Orang Diparol (ODP), Orang Diselia (ODS) dan Orang Bebas Berlesen (OBB).

Dalam Majlis Menandatangani NoC ini, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed mewakili PERKESO dan KJP Datuk Haji Nordin Haji Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara mewakili JPM. Manakala Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia menyaksikan pemeteraian NOC oleh kedua belah pihak.

Melalui penganjuran program-program intervensi awal termasuk program penempatan pekerjaan menerusi Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs, NoC ini dapat memberi impak signifikan terutamanya bagi meningkatkan pengambilan pekerja oleh majikan dalam kalangan banduan dan bekas banduan. Selain itu, usaha sama ini juga dijangka dapat menangani isu kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Kerjasama ini juga adalah lambang sokongan terhadap Projek Riben Kuning yang bertujuan memberi peluang kedua kepada golongan mudah terjejas ini agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat dengan kehidupan yang lebih baik setelah selesai menjalani hukuman.

Kolaborasi ini, yang dilaksanakan secara sistematik, akan menyumbang kepada pemerkasaan potensi modal insan sebagai pemacu pembangunan strategik negara. Intervensi yang akan meningkatkan kemahiran golongan sasar dalam pelbagai bidang ekonomi dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, diharap dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap golongan ini dan memberi sinar baharu dalam hidup mereka.

Menurut Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, pemeteraian NoC di antara PERKESO dengan Jabatan Penjara Malaysia mempunyai implikasi positif dalam memberi peluang kedua kepada golongan ini, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas keluar dari penjara atau Sekolah Henry Gurney.

Beliau juga menyarankan agar para majikan di seluruh negara memberi peluang kepada golongan ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada termasuklah jawatan yang kebiasaannya diisi oleh pekerja asing.

“Saya yakin usaha ini dapat direalisasikan sekiranya kelulusan bagi permohonan pekerja asing yang diberikan mensyaratkan majikan mengambil golongan ini atau menunjukkan usaha untuk menggajikan golongan banduan dan bekas banduan terlebih dahulu sebelum membuka peluang tersebut kepada pekerja asing,” kata beliau di majlis tersebut.

KJP Dato’ Haji Nordin Haji Muhamad pula menyatakan cabaran yang dihadapi Jabatan Penjara Malaysia ketika ini adalah kemasukan semula pekerja asing yang mengakibatkan syarikat-syarikat mula menarik diri dari program Corporate Smart Internship (CSI), yang memberi kesan terhadap penawaran pekerjaan kepada golongan ini.

“Oleh yang demikian, Jabatan Penjara Malaysia amat berharap ehsan dari Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar atas kapasiti Menteri Sumber Manusia untuk meletakkan suatu syarat atau polisi sejumlah kuota pengambilan pekerja oleh pihak majikan dari kalangan golongan banduan.

“Memperlihatkan komitmen serta iltizam bersama semua pihak dalam menghayati konsep Malaysia Madani, ia akan memberi kesaksamaan peluang untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang bermakna bagi golongan ini,” kata beliau dalam Ucapannya.

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahahan Kamal pula menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama PERKESO dengan JPM dapat mengubah nasib golongan terpinggir ini ke arah yang lebih baik menerusi peningkatan potensi mereka untuk memperoleh pekerjaan yang stabil.

“Mesej yang ingin kami sampaikan kepada masyarakat umum adalah walaupun langit tak selalu cerah, namun awan juga tak selalu mendung. Masih ada peluang dan ruang untuk menebus kesilapan lalu dan memperbaiki kehidupan masa depan,” menurut beliau.

Sejak tahun 2021 ingga Mac 2023, terdapat pelbagai inisiatif kerjasama yang telah dilaksanakan oleh PERKESO dan JPM seperti Program Penempatan Penghuni Bebas Lesen (PBL) yang melibat 235 orang pelatih Sekolah Henry Gurney. Selain itu, Program Re-Entry@MYFutureJobs memberi sokongan kepada para majikan di Malaysia untuk menggajikan bekas banduan di mana seramai 409 bekas banduan telah ditawarkan pekerjaan.

Kerjasama daripada rakan strategik seperti Microsoft turut membantu meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran banduan dan bekas banduan dalam kemahiran digital yang menjadi keperluan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif. Sebagai salah satu rakan kerja utama Microsoft dalam peningkatan kemahiran digital, PERKESO dapat menawarkan peluang pekerjaan dalam ekonomi digital kepada golongan terpinggir ini, terutamanya ODP, menerusi bantuan latihan kemahiran digital oleh Microsoft.

Kerjasama strategik antara PERKESO dan JPM dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan menepati prinsip “no one is left behind”, tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Ia juga akan membantu perluasan perlindungan sosial kepada semua golongan lapisan masyarakat, selaras dengan konsep Madani yang mengiktiraf hak setiap warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang demi kehidupan yang mampan dan sejahtera. – SM 

Artikel berkaitan > Bajet 2023: Perkeso ambil insentif tawar 70,000 pekerjaan

 

(Visited 643 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button