Nasional

Dr. Noor Hisham diberi peluang berehat, kali pertama sejak Disember

PETANG ini ramai yang tertanya-tanya kenapa Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah tidak muncul seperti biasa.

Kenapa sidang akhbar harian Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai Covid-19 di Putrajaya tidak ada?

Tidak seperti biasa, hari ini kelibat Datuk Dr. Noor Hisham tidak kelihatan.

Malah, laporan terkini mengenai kes Covid-19 hanya diberikan melalui kenyataan media sahaja.

Sebenarnya, tidak ada apa-apa yang berlaku kepada Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Sebaliknya, beliau dan pasukannya telah diberikan peluang untuk berehat seketika setelah mereka bekerj tanpa henti dan tanpa mengenal erti penat sejak Disember.

Melalui hantaran di Facebooknya, agak berbeza, Dr. Noor Hisham berkata, walaupun beliau tidak muncul seperti biasa, tetapi maklumat terkini mengenai Covid-19 tetap dimaklumkan kepada umum melalui kenyataan media.

“Pada petang ini saya dan sebahagian pasukan saya diberi peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019 dalam respon dan kesiapsagaan KKM menghadapi penularan jangkitan COVID-19.

“Walaupun tiada sidang media dijadualkan pada hari ini, satu kenyataan akhbar tetap akan menyusul bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini berkaitan status jangkitan COVID-19 dalam negara,” katanya.

Dalam kenyataan medianya yang diedarkan petang tadi, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes COVID-19  yang telah pulih sepenuhnya dan telah didiscaj daripada wad kini mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pihaknya merekodkan 65 lagi kes pulih baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes mereka yang telah pulih sebanyak 4,929.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan 54 lagi kes baharu dengan 45 kes membabitkan bukan warganegara, menjadikan kes positif COVID-19 kini berjumlah 6,589 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes dari luar turut dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, dengan tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 108 kes.

Kes kematian itu melibatkan kes ke-2,499 yang merupakan wanita tempatan berusia 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid yang telah dirawat di Hospital Melaka sejak 29 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 11.23 malam , semalam.

Sehingga kini juga, seramai 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Perkembangan terbaharu kes COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,552 kes, kata beliau. – SM

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button