Dr Mahathir ulangi PH sukar penuhi janji kerana angkara kerajaan dahulu
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapati sukar untuk mencapai janji dan matlamat manifestonya disebabkan oleh kerosakan yang disebabkan kerajaan terdahulu.
“Sewaktu kita sediakan manifesto, kita tak dapat maklumat penuh dan apabila kita ambil alih kita dapati kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan lama itu jauh lebih dahsyat daripada yang kita anggar.
“Kalau dia (rakyat) tak yakin, ada masanya dia boleh undi bila ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dia undi lah… untuk menentukan nasib PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan ke-58 di sini, hari ini.
Dr Mahathir juga menjangkakan ia akan mengambil masa lima tahun sebelum kerajaan PH dapat tunaikan janjinya.
Ditanya mengenai status pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), beliau berkata kerajaan masih dalam proses melakukan kajian mendalam berkaitan akta itu.
“Perkara ini sukar dan sementara itu kita tak nak dengan mudah membebaskan pengganas seumpamanya… kalau kita dapati orang itu menyediakan bom, letup sana sini, orang yang macam itu kita tak boleh bagi ‘bail’,” katanya.
Kerajaan sebelum ini pernah berkata ia akan mengkaji untuk meminda peruntukan drakonian yang terdapat dalam SOSMA, tidak lama lagi.
Mengenai Perkim, Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua persatuan itu berharap ia akan lebih aktif dalam aktiviti dakwahnya memandangkan peruntukan kerajaan kepada Perkim dikembalikan kepada RM10 juta, berbanding RM4 juta tahun lepas. – BERNAMA