Politik

Dr Joachim Gunsalam kini pemangku Presiden PBS

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini secara rasmi menyerahkan tanggungjawab sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada Timbalannya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kota Kinabalu.
Memetik BERNAMA, Beliau turut melantik Dr. Joachim, yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah, sebagai pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi mesej yang dibacakan oleh Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki pada mesyuarat itu yang diedarkan kepada media, Ongkili berkata perasaan beliau agak bercampur-baur namun penyerahan tanggungjawab itu adalah perlu demi kepentingan parti.
“Hari ini, masanya sudah tiba untuk melakukan perubahan yang saya yakin akan membawa pembaharuan iaitu penyerahan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Presiden kepada pemangku yang saya sendiri pilih.
“Ini selaras dengan peruntukan Perkara 15 (iii) (a) Perlembagaan PBS dan beliau ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam,” katanya
Pada 6 April lepas, Majungki berkata Ongkili akan berundur manakala Dr Joachim akan dilantik sebagai pemangku Presiden PBS bermula 1 Jun iaitu hari ini.
Ongkili, yang mengemudi PBS sejak enam tahun lepas, berkata bukan mudah untuk seorang pemimpin melepaskan jawatan, tanggungjawab dan peranannya kepada pengganti beliau dalam kalangan barisan kepemimpinan parti.
Beliau berkata sudah pasti banyak persoalan akan timbul dan pelbagai cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang memegang jawatan Presiden dalam mana-mana parti atau pertubuhan terutama yang mempunyai begitu banyak sejarah dan amat bermakna buat rakyat Sabah.
Bagaimanapun, Ongkili berkata berdasarkan keadaan kesihatannya sekarang yang memerlukan lebih perhatian dan tumpuan dalam proses pemulihan, beliau yakin pelantikan Dr Joachim adalah keputusan yang baik untuk PBS ketika ini.
“Saya berharap dengan pelantikan ini, kepimpinan parti kita akan kekal bersatu bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya. – SM
(Visited 14 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button