BeritaPendidikan

Dr. Hilmi hasilkan ensiklopedia tumbuhan perubatan Arab

PENSYARAH Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohd. Hilmi Abdullah yang menjalankan kajian berkaitan penamaan tumbuhan-tumbuhan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, Inggeris, dan nama saintifik berjaya menerbitkan dua buku ensiklopedia menarik untuk rujukan masyarakat.

Kajian yang dilakukan pada 2015 ketika beliau menjalani cuti sabatikal di Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah tajuk “Penterjemahan Nama Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Dari Bahasa Arab Ke Bahasa Melayu. Kajian Kes Ke Atas Penterjemahan Nama Tumbuh-Tumbuhan Dalam Kitab Al-Qanun Fi Al-Tibb Oleh Ibnu Sina” itu diteruskan lagi melalui Geran Galakan Penyelidikan Universiti (GGPU) yang diperoleh daripada UPSI pada tahun 2017 di bawah tajuk Ensiklopedia Tumbuh-Tumbuhan Perubatan Arab – Melayu – Inggeris.

Dr Mohd Hilmi berkata kajiannya menemui berbagai-bagai permasalahan dalam penamaan tumbuh-tumbuhan khususnya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, termasuk yang berkaitan dengan kesilapan terjemahan nama tumbuh-tumbuhan dalam kamus Arab – Melayu dan Inggeris – Melayu yang terdapat di pasaran negara sekarang ini.

Isu konflik penterjemahan dan penamaan tumbuh-tumbuhan perubatan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, konflik penamaan tumbuh-tumbuhan antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris,, katanya, dibentangkan dalam pelbagai seminar, termasuk dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Kali Ke-17 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Kali Ke-18.

Katanya, dua buah ensiklopedia tentang tumbuh-tumbuhan, iaitu Ensiklopedia Sayur-Sayuran, Buah-Buahan, Rempah-Ratus, dan Bijirin : Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik yang diterbitkan pada tahun 2021, dan Ensiklopedia Tanaman Hiasan, Tumbuhan Liar, dan Rumpai : Arab-Melayu-Inggeris-Nama Saintifik pada 2022 mempunyai keunikan yang tersendiri yang tidak ada pada mana-mana kamus dan ensiklopedia yang lain di negara ini, malah amat sesuai dijadikan rujukan oleh pelajar, guru, penyelidik, dan pengkaji tumbuh-tumbuhan.

“Ia mengandungi padanan nama tumbuh-tumbuhan dalam empat bahasa sekali gus, iaitu bahasa Arab, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Greek (nama saintifik) selain memaparkan padanan yang paling tepat bagi setiap nama tumbuh-tumbuhan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan nama saintifik, malah membetulkan kesilapan padanan yang sering berlegar dalam masyarakat, termasuk dalam kamus-kamus dwi-bahasa yang sedia ada dalam pasaran,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hilmi setiap spesis tumbuhan, malah sub-spesis bagi tumbuhan yang terpilih diberi padanan yang tepat dan berbeza-beza antara satu sama lain, khususnya nama saintifik bagi tumbuhan tersebut bagi memastikan pengguna ensiklopedia mendapat maklumat yang tepat, serta mengelak berlakunya kekeliruan, khususnya bagi tumbuh-tumbuhan yang mempunyai indentiti yang hampir sama.

Beliau berkata kedua-dua ensiklopedia itu memberi faedah yang optimum kepada pengguna kerana ia juga memasukkan khasiat perubatan bagi tumbuh-tumbuhan yang tertentu, khususnya tumbuh-tumbuhan yang terkenal dan biasa digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, sebahagian besar khasiat perubatan diambil daripada kitab al-Qanun Fi al-Tibb karangan Ibnu Sina dan ditambah dengan maklumat perubatan dan khasiat makanan daripada buku-buku karangan Dr. Ong Hean Chooi, mantan Profesor Sains Biologi, Universiti Malaya, serta sedikit maklumat daripada lain-lain sumber, termasuk Internet.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar berkata kedua-dua ensiklopedia itu berada dalam kelasnya yang tersendiri sekali gus menyemarakkan lagi penyelidikan dan penerbitan dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan, sama ada yang terdapat di negara ini mahupun di seluruh dunia.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat tentang buku-buku hasil penyelidikan penyelidik UPSI boleh berhubung dengan Nor Puteri Hidayah menerusi emel: [email protected] atau di talian 015 4879 7863.

 

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button