BeritaPendidikan

Lima peserta UPSI pamer kreativiti angkat imej batik tempatan

Tiga akademia Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima penajaan mengikuti program Inkubator Artisan Batik: Sungei Wang Batik Revival 2022 sekali gus memberi peluang kepada mereka berentap di pentas akhir pertandingan peragaan batik peringkat kebangsaan.

        Selain itu seorang kakitangan teknikal (Pereka) dari Jabatan Keluarga dan Sains Konsumer,  Fakulti Teknikal dan Voksional,  Senijulita Johari   dan pelajar semester tujuh,  Norazura  Mohd Isa turut terpilih sebagai peserta akhir.

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk FSKIK, Dr Harleny Abd Arif, berkata beliau bersama rakan akademia, Dr Elis Syuhaila  Mokhtar  dan Dr Ida Puteri  Mahsan serta dua peserta dari FTV mendapat penajaan  Dbilique Media Sdn. Bhd sebanyak RM 10, 000 seorang.

“Kami di antara 15 peserta kategori orang awam yang berjaya meraih tajaan daripada 30 peserta terpilih dalam negara akan dinilai oleh juri pertandingan di pentas akhir peragaan pada 27 Mac 2022 di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

         Program itu, katanya, anjuran dBilique Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama pihak Sungei Wang Plaza dan disokong oleh Kraftangan Malaysia dan Institut Kraf Negara (IKN).

Peserta Program Inkubator Artisan Batik: Sungai Wang Batik Revival 2022 bergambar kenangan bersama Noor Arfa Batik.

          Sepanjang program yang berlangsung antara 19 Februari sehingga 8 Mei 2022 itu mereka ditaja lima  hari Bengkel Bersemuka bersama Noor Arfa Batik, Bujin Batik, Pengarah Rekaan Kraftangan IKN, serta bersama Pengacara Media Kartini Ariffin dan Farah Fauzana.

         Selain itu mereka berpeluang melawat Hari Kraf Kebangsaan 2022 di Jalan Conlay dan  Institut Kraf Negara di Rawang, menyiapkan rekaan dan  penghasilan batik serta menggunakan fasiliti yang disediakan di Institut Kraf Negara, Rawang sepanjang tempoh menyiapkan rekaan.

Harleny berkata menerusi program itu  memberi peluang kepada mereka meningkatkan  pengetahuan dalam selok belok dunia keusahawanan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman oleh tokoh usahawan terkemuka yang meraih kejayaan dalam pasaran negara sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kami dibimbing tentang kemahiran asas rekaan, aplikasi teknik dan kaedah serta proses penghasilan rekaan batik selain aspek promosi dan kebolehpasaran turut didedahkan semasa sesi perbengkelan. 

      Program Inkubator Artisan Batik: Batik Revival 2022, katanya, bertujuan memberi nafas baharu kepada batik Malaysia melalui pertandingan rekaan batik yang dibuka penyertaannya kepada pereka muda terdiri dalam kalangan pelajar dan orang awam di Malaysia.

Hasil rekaan batik Dr Harleny Abd Arif menampilkan elemen tradisi dengan reka corak yang diinspirasikan daripada motif ukiran mimbar tempatan berusia lebih 200 tahun. Elemen tradisi diberi nafas baharu melalui kombinasi warna dalam gaya kontemporari.

Katanya, aspek feminisme terserlah dalam rekaan batik Dr Ida Puteri yang diilhamkan daripada tumbuhan spesis Oxalis Triangularis. Motif reka corak diinspirasikan daripada daun dan warna Oxalis berserta sentuhan ekspresi pereka dalam menghayati keindahan alam flora.

Beliau berkata rekaan Dr Elis Syuhaila  mengetengahkan elemen terapi melalui penggunaan warna, garisan-garisan ekspresi dan rupa bersifat moden dan kontemporari. Ketiga-tiga unsur asas seni ini digabungkan sebagai sebuah komposisi yang dapat meluahkan perasaan dalaman diri yang tersurat dan tersirat.

“Kami terpilih mendapat tajaan kerana telah memenangi saringan di peringkat kebangsaan bagi rekaan motif batik yang berakhir pada 31 Januari 2022 lalu sekali gus menjadi calon dari Jabatan Seni dan Reka Bentuk untuk bersaing bersama peserta orang awam lain  yang terpilih dari seluruh Malaysia,” katanya.

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button