Rencah Hidup

Dilema kibar bendera putih

ISU hangat yang menjadi status atau komen warga net atau netizen di media sosial Facebook hari ini ialah tentang mengibar bendera putih.

Ada pelbagai pendapat dan pandangan tentang mengibar bendera putih sebagai tanda atau simbol, penghuni di dalam rumah yang mengibar bendera putih benar-benar putus bekalan makanan.

Ada yang bersetuju dengan kibaran bendera putih dan ada yang tidak bersetuju dengan tindakan mengibar bendera putih.

Yang tidak bersetuju tampil dengan pelbagai alasan termasuk mengapa tidak menggunakan aplikasi WhatsApp yang pastinya ada dimuatnaik di telefon masing-masing jika tinggal di dalam satu komuniti.

Ada yang bersetuju kerana jiran tetangga dan setaman tahu bahawa bantuan segera diperlukan oleh keluarga yang berkenaan.

Catatan berbunyi, “If ada kenal sesiapa yang betul-betul perlukan bantuan, boleh inform I. Insya-Allah. I tolong apa yang mampu.”

Dengan berlatar belakangkan bendera putih, tertulis catatan seperti ini, “rumah yang kehabisan makanan dan barang keperluan tapi dah kehabisan duit, tolong kibar bendera putih depan rumah. Biar jiran nampak pakat tolong seorang sikit ringankan beban.”

Ada juga yang menterjemahkannya dalam bentuk humor dengan mengibar seluar dalam berwarna putih atau spender gergasi berwarna putih. Ini agak sensitif tetapi itulah lawak yang terpampang di Facebook individu.

Sekali pandang, kibaran bendera putih hari ini muncul tiba-tiba mungkin disebabkan oleh banyaknya kejadian bunuh diri yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Ada yang terjun dari bangunan pangsapuri, ada yang gantung diri dan ada yang terjun dari jambatan. Senario ini yang melanda rakyat Malaysia sejak dua menjak kita semua dilanda pandemik Covid-19.

Sejak tahun lepas lagi, tahun ini masuk tahun kedua kita semua hidup dalam Covid-19 dan kerajaan berusaha untuk mengekang atau memutuskan rantaian wabak ini daripada terus melanda kita dengan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada prosedur standard operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan setiap hari kita semua mendapat mesej mengingatkan agar mematuhi SOP. Akur dengan SOP.

PKP3.0 kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan ditamatkan, bererti selepas 28 Jun lalu, PKP3.0 bersambung lagi untuk tempoh dua minggu lagi.

Penyanyi Aishah dalam catatan di Facebooknya menulis, Berdoa antara kita dengan Allah. Bendera putih antara kita sesama manusia. Adakalanya Allah menjawab doa hamba melalui hamba-NYA yang lain. Jadi… kibarkanlah bendera putih untuk menggamit datangnya bantuan Allah melalui pertolongan hamba-NYA.

Dalam statusnya juga, Aishah berkongsi pandangan peribadinya tentang bendera putih seperti berikut:
Bagi I idea untuk mereka yang sangat terkesan oleh pandemik ini dengan mengibarkan bendera putih, satu idea yang baik.

Ianya adalah satu cara paling cepat untuk kita kenal pasti family mana yang sudah sampai tahap kritikal dalam kawasan kejiranan kita.

Tanpa terpaksa melalui proses birokrasi yang mungkin mengambil masa . Ini untuk kes-kes yang dah kehabisan terus bekalan atau yang dah stress sangat hingga kaki sebelah dah julur ke bawah balkoni tau.

Nak suruh mereka ini tunggu hingga bulan Ogos ke. Tak payah slam lah usaha rakyat untuk menghulurkan ‘lifeline’ kepada yang terdesak ini.

Dalam Islam pun tak ajar angkat tangan untuk berdoa saja tanpa ada ikhtiar. Sekurang-kurangnya mereka yang berkemampuan bila nampak signal ‘bendera putih’dah tau di mana bantuan perlu disalurkan.

Kalau tak nak bendera putih pun tak apa, sangkutlah bendera waran apa pun. Merah, biru, oren, hijau waiman tin milo ke tin susu ke. Janji ianya berfungsi sebagai tanda yang situasi di sesebuah rumah itu sudah kritikal.

Tidak usah cerita pasal aib dalam keadaan kritikal sebegini. Fikirlah semula kenapa rakyat sendirti kenda cadangkan sistem ini?

Fikirlah tanggungjawab siapa yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat ini? Tapi bila rakyat berusaha, ada juga kata-kata sumbang mengkritik.

Demikian catatan Aishah.

Dalam kalangan netizen, ada juga yang meminta pusat-pusat zakat membantu semua tanpa mengira siapa kerana inilah masanya hampir semua memerlukan bantuan.

Walaupun ada yang memberi konotasi bendera putih kalau semasa peperangan bermaksud kalah dan bagi orang Islam, kalau di hadapan rumah ada kain putih (bukan bendera) diikat pada pagar, ia bermaksud ada kematian.

Yang tidak bersetuju dengan bendera putih ini mempunyai alasan mereka yang tersendiri dan setiap individu itu, boleh menzahirkan pandangan masing-masing.

Kalau ulat dalam batu pun boleh makan, yang penting usaha dan sememangnya selepas berusaha, masih tidak mencukupi kerana tanggungan besar, apa saranan tuan-tuan semua? Yang beli beras, siapa?

Malam ini, kita yang sudah menikmati makan malam bersama keluarga boleh sahaja tidur lena hingga ke keesokan hari.

Mereka yang putus bekalan makanan atau keperluan harian, mungkin teragak-agak nak naikkan bendera putih. Namun demi keluarga terutamanya yang mempunyai anak pinak, timbanglah semasak-masaknya.

Perut yang berbunyi, rengekan anak-anak yang lapar atau tidak mempunyai susu tepung untuk dibancuh di dalam botol susu, itu pastinya membuatkan ketua keluarga menaikkan bendera putih di hadapan rumah. – SM

(Visited 844 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button