fbpx
Belang Bertempat

Dicaras Bersatu, orang UMNO perlu kerja 10 kali ganda

SEHINGGA malam tadi, difahamkan bekas ketua menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) terus mencuba habis-habisan untuk memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berkuasa di Negeri Di Bawah Bayu.

Jika sebelum ini Warisan cuba menggunakan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan jika parti menang majoriti kerusi dalam pilihan raya negeri ke-16, ketua parti itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh dianggap memiliki sokongan majoriti dalam DUN, sekali gus membolehkannya dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah, kali ini Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (salah sebuah gabungan Perikatan Nasional atau PN), pula menjadi sasaran.

Bertempat di Rumah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu malam tadi, Shafie dikatakan berjaya mendapatkan sokongan daripada ADUN-ADUN Warisan Plus termasuk PKR dan UPKO untuk menyokong Jeffrey menjadi ketua menteri manakala Mohd. Shafie akan fokus ke Pusat. Namun mujurlah Jeffrey menolak.

Disebabkan `kegilaan’ Mohd. Shafie mahu terus berkuasa inilah menyebabkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin terpaksa mengalah menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Parti Bersatu walaupun UMNO memiliki 14 kerusi yang juga pemilik kesemua 14 kerusi BN yang menang. Bersatu Sabah yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor, ketua menteri yang baharu cuma menang 11 kerusi.

Lagipun Bersatu memiliki PN yang dianggotai STAR. Justeru, 11 kerusi + 6, menjadi 17. Mereka buat perjanjian dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula, berubah kepada 17+7 = 24. Bersatu menaja pula ADUN Bebas, 24+3, jadi 27.


UMNO (BN) ada 14. Maka 27 lawan 14. Maka 27 menang. Bersatu ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi magnet penarik. Untuk menjadi magnet besar begitu, kerusi dimenangi mesti banyak. Dana UMNO/BN pula terhad. Di Sabah, jentera rupanya senang dibina. Ada duit, bayar, maka ramailah jentera. Walau PN baru bertapak, duit jadi Raja.

Dan lebih menjadi penyebab Bung Moktar terpaksa beralah lagi adalah apabila rakan-rakannya 13 ADUN BN yang kesemuanya UMNO tadi mahu berada dalam kerajaan baharu Sabah. Mereka berpendapat adalah lebih baik berada dalam kerajaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Hairannya, persetujuan ini adalah bersyarat dalam perjanjian bertulis dan ditandatangi oleh semua pihak dalam GRS.
Namun pemimpin dan ahli UMNO/BN masih curiga akan kejujuran dari pihak Bersatu. Kenapa?

Bagi Belang, rumusannya mudah. Keputusan PRN Sabah sudah diperoleh. Andaian dan perancangan sebelum PRN telah terbukti betul dan salahnya. Lebih atau kurangnya.

Waima apa pun, yang terjadi telahpun terjadi. UMNO kena move forward. Ambil semua ini, jadikan iktibar yang paling berguna yang memberi manfaat kepada parti.

Jangan ulangi kesilapan andaian atau jangkaan yang telahpun ada jawabnya dari PRN Sabah ini.

Belang yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melalui semua proses kematangan dalam politik termasuk apa yg dilakukan oleh Bersatu dalam kerjasama selama ini.

Ahmad Zahid sudah pasti akan mengambil kira semua pandangan rakyat dan ahli UMNO untuk membuat keputusan bagi menghadapi PRU-15.

Politik bergerak pantas. dinamik. Cepat berubah.

Apakah jalan hendak berjaya mendapat kuasa semula ketika orang lain menjadi PM?

UMNO kena kerja 10 ganda lebih kuat dengan kaedah yang strategik. Mesra rakyat. Jangan sombong. Dekati pengundi. Ziarah kasih. Pergi masjid. Walk-about. Aktif media sosial. Buat program kecil-kecil tapi banyak. Prihatin rakyat. Pergi kenduri-kendara. Bantu yang susah.

Beri surat sokongan. Jumpa yang berkuasa untuk buat pembangunan dan lain-lain.

Lama sebelum PRU mesti sudah dibuat. Bukan hanya aktif nak dekat-dekat PRU sahaja. Yang ramai pengundi Cina memang kerja kena berlipat kali ganda. Mereka tidak bersama UMNO.

Nasib UMNOlah Allah uji dengan hilang kuasa. Maka kenalah ubah strategi. Satukan Melayu. Berbaik dengan Pas walau apa pun yang terjadi. Mesti berbaik dengan Pas. Wajib. Barulah ada peluang untuk berjaya, agar dilihat oleh rakyat.

Namun masih belum tentu boleh menang PRU jika berbalah sesama sendiri. Cah keting. Dengki dan iri hati. Sama-sama UMNO muhasabah diri. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button