Politik

Darurat: Halang rentas negeri, halang rentas politik

TINDAKAN yang dilihat ‘double standard’ dalam penguatkuasaan Perintah Darurat terutama berkaitan politik perlu dihentikan, sebaliknya usaha menangani pandemik perlu difokuskan.

Bagaimanapun, kerajaan yang dilihat sebagai pembuat dasar pada asalnya menguatkuasakan Perintah Darurat kerana mahu henti berpolitik ketika krisis kesihatan.

Namun, sebaliknya berlaku apabila lompat parti dan usaha raih sokongan politik dilihat begitu galak berlaku ketika negara sepatutnya fokus kepada menangani pandemik Koronavirus (Covid-19).

Sedangkan, matlamat asal pelaksanaan Perintah Darurat sebelum ini jelas dinyatakan untuk mengatasi kesan penularan pandemik yang menyebabkan penggunaan fasiliti kesihatan negara berada pada tahap maksimum.

“Malangnya rentas daerah, rentas negeri dan rentas sempadan sahaja dihalang ketat. Tetapi rentas politik dibuka seluasnya sehingga memudaratkan krisis politik negara.

“Inilah double standard mereka. Hentikan perbuatan melelong ahli parlimen. Timbalan Presiden tanpa berselindung mahu UMNO dikembalikan memerintah negara.

“Pada beliau Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal membuktikan kecekapan mentadbir negara. Walaupun UMNO di dalamnya tetapi UMNO dipinggir.

“Justeru, UMNO perlu menjuarai ‘pembaikan politik’ atau ‘political correctness’.”

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan perasmian persidangan sayap UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, ucapan Mohamad mengkritik kerajaan adalah tepat kerana mendakwa matlamat Perintah Darurat tidak sejajar dengan penggantungan Parlimen dan tindakan berpolitik ketika penguatkuasaannya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dalam ucapan mengkritik dasar Kerajaan PN  dan menyifatkan pentas politik dan ekonomi masih berada dalam keadaan tidak menyenangkan.

“Kita berhimpun pada kali ini dalam keadaan yang masih tidak menyenangkan. Pentas politik, persekitaran ekonomi dan kedudukan sosial bangsa Malaysia sedang berada pada saat genting dan getir.

“Keadaan yang secara ringkasnya boleh digambarkan dengan istilah ‘kerancuan’ – iaitu satu situasi kucar kacir, terumbang ambing dan bercempera.

“Demokrasi negara ini juga semakin merosot. Ruang kebebasan bersuara semakin mengecil. Malah sering sahaja dikongkong.

“Parlimen sebagai entiti yang mengangkat nilai sebenar demokrasi dilumpuhkan dan perlembagaan tidak dijunjung dengan luhur.

“Iklim politik kita seperti dilanda langkisau . Ramai yang sasau, ramai yang meracau.

“Mereka melompat dari satu kolam ke kolam yang lain. Tanpa malu tanpa segan silu. Seakannya negara kita dalam tempoh pandemik ini, lebih memerlukan larangan rentas parti, berbanding larangan rentas negeri.

“Realitinya, kita sedang melalui krisis politik yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Bahkan, tidak nampak tandatanda bahawa krisis politik kita akan berakhir segera,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button