Rencana

Darurat di Jawa, Bali bermula hari ini, Malaysia dijangka tamat 1 Ogos

Ketika Malaysia hampir menamatkan darurat hujung bulan ini Indonesia pula mengenakan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini.

Presiden Joko Widodo yang mengumumkan perkara itu menjelaskan kedua-dua pulau yang padat dengan penduduk itu dikenakan darurat sehingga 20 Julai ini.

Pulau-pulau berkenaan mencatatkan bilangan kes harian sehingga lebih 24,000 iaitu meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini. Malah angka kematian turut meningkat kepada 250% dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Seperti di Malaysia yang menggunakan istilah Peritah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB); Indonesia turut menggunakan beberapa istilah iaitu Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB), PSBB transisi, micro lockdown, sampai PPKM mikro.

Dengan PPKM Darurat, aktiviti sektor tidak penting akan dijalankan sepenuhnya dari rumah.

Ini tidak termasuk sektor kewangan, perbankan pasaran modal, sistem pembayaran, teknologi maklumat dan komunikasi, perhotelan, industri berorientasikan eksport yang dianggap sebagai sektor penting. Sektor penting dibenarkan namun terhad kepada kapasiti 50% bilangan pekerja.

Sementara itu sektor kritikal termasuk tenaga, kesihatan, keselamatan, logistik dan pengangkutan, makanan, minuman dan industri sokongan, petrokimia, simen, berkepentingan nasional, pengurusan bencana, projek strategi nasional, pembinaan, utiliti asas (seperti elektrik dan air) serta industri untuk memenuhi keperluan asas kehidupan seharian dibenarkan beroperasi 100% pekerja.

Media Indonesia bagaimanapun tidak melaporkan sama ada tempoh PPKM Darurat itu akan dipanjangkan atau tidak jika kes terus meningkat sehingga 20 Julai ini.

Di Malaysia, perisyiharan darurat bermula pada 12 Januari lalu selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021.

Serentak itu sebuah Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuhkan di bawah mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jawatan kuasa terbabit akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan 18 anggota lain terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Jawatankuasa tersebut harus telus dalam peranannya dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat di Malaysia dan penamatannya.-SM

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button