PRK

Dakwaan projek Lebuh Raya Pan Borneo terbengkalai tidak benar

Dakwaan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah kini terbengkalai adalah tidak benar, kata Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony.

Sebaliknya, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata projek mega itu masih diteruskan meskipun sebelum ini syarikat konsesi yang membangunkan lebuh raya itu ditamatkan kontrak susulan dipalit kontroversi.

Beliau juga menepis dakwaan bahawa pembinaan lebuh raya itu hadiah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Sabah, sedangkan pelaksanaan projek itu memang menjadi tanggungjawab mereka selaku kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Mereka (BN) dakwa kononnya itu hadiah daripada BN, tetapi mereka jangan lupa hasil dari Sabah ini dibawa ke Kuala Lumpur dan itu (hasil) yang sebenarnya membiayai Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Kimanis.

Beliau mengulas dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah apabila projek mega Lebuh Raya Pan Borneo kini terbengkalai.

Najib berkata projek berkenaan adalah hadiah kerajaan BN kepada rakyat Sabah dengan membina lebuh raya tanpa tol itu.

Sementara itu, Peter yakin masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Parlimen Kimanis akan memberi sokongan penuh kepada calon Warisan kerana UMNO dan BN sudah diberi peluang terlalu lama untuk membangunkan Sabah, namun gagal.

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang yang juga Ketua Warisan Bahagian Kimanis dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button