Nasional

Dakwaan pembangkang Malaysia bukan destinasi pelabur asing tidak berasas – Ismail Sabri

Dakwaan pembangkang kononnya Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan asing adalah tidak berasas kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menegaskan perkara tersebut beliau berkata, bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM47.4 bilion.

Dalam tempoh tersebut katanya, Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022.

Beliau menambah kejayaan tersebut disahut oleh Bank Dunia yang telah menyemak semula unjuran KDNK bagi tahun 2022 kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada bulan Mac lalu.

“Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia.


“Ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada tahun 2008.

“Saya berkeyakinan ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran KDNK antara 6.5 peratus hingga 7 peratus dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 8.9 peratus.

“Dalam tempoh setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021,” ujarnya.

Beliau berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) bagi peringkat negeri Melaka Edisi ke-11 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion. Subsidi terbesar dalam sejarah.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih 50 peratus adalah untuk subsidi petrol, diesel dan LPG iaitu RM41.7 bilion, bantuan terus kepada rakyat seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian bernilai RM25.7 bilion dan RM5.8 bilion untuk tarif eletrik.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memastikan Keluarga Malaysia di negeri Hang Tuah ini terus mengecapi kemakmuran.

Katanya, ia diperkukuhkan menerusi konsep Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“Konsep yang mula diperkenalkan sewaktu saya mula menerajui tampuk pimpinan Kerajaan pada 22 Ogos 2021 yang lalu, kini menjadi semakin sinonim dengan gaya hidup dan kesepaduan Keluarga Malaysia pada hari ini.

“Keluarga Malaysia menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga dan bersifat inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” ujarnya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana masyarakat berbilang kaum di negeri bersejarah ini meneruskan kehidupan harian secara harmoni ibarat sebuah keluarga seperti bak kata pepatah, ‘Pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama’. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button