Nasional

Cuepacs hantar cadangan kepada PM berkaitan pengumuman 30 Ogos ini

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah menghantar cadangan berkaitan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diumumkan pada 30 Ogos ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan tersebut termasuk pengenalan gaji minimum baharu dan kenaikan imbuhan tetap khidmat awam yang dilihat dapat memberikan kelegaan kepada penjawat awam khususnya dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Semalam Cuepacs telahpun mengutuskan satu surat cadangan balas tentang apakah yang sesuai untuk kerajaan umum pada 30 Ogos nanti.

“Sepatutnya memang ada pertemuan dengan perdana menteri semalam tetapi beliau agak sibuk.

“Justeru itu kami telahpun mengutus emel kepada perdana menteri,” jelasnya.

Adnan berkata, “Sebenarnya kami tidak begitu ekstrem dalam membuat tuntutan ini kerana kami juga tahu kerajaan juga ada kekangan dan rakyat juga di luar sana agak terkesan dengan Covid-19 yang telah melanda lebih daripada dua tahun ini.

“Maka kami telah mengambil kira dari segi kesan kepada kewangan negara, kesan kepada pencen yang akan datang, kesan kepada kerajaan sendiri.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia semalam.

Adnan berkata, setakat ini Cuepacs tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara yang akan diumumkan perdana menteri namun pihaknya akan menyambut baik sebarang pengumuman terutama jika sebahagian tuntutan yang dikemukakan sebelum ini ditunaikan.

Katanya, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memperkenalkan sistem saraan baharu bagi menggantikan sistem saraan sedia ada yang telah digunakan sejak 2002 dan dilihat tidak lagi relevan dan komprehensif dengan keadaan semasa.

“Kalau bukan dilaksanakan sekarang, sekurang-kurangnya kerangka perlu diumum dengan mengadakan libat urus bersama Cuepacs ke arah membentuk sistem saraan yang baharu.

“Itulah harapan kami menjelang 30 Ogos yang akan datang,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada Selasa minggu depan, sehari sebelum Hari Kemerdekaan yang jatuh pada Rabu depan. – SM

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button