CUBAAN seludup minyak diesel sebanyak 8,000 liter yang bernilai RM16,000 dari perairan Kuala Perlis ke negara jiran berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa.
Ia membawa kepada penahanan seorang tekong rakyat tempatan bersama tiga awak-awak termasuk dua warga Thailand yang berusia 39 hingga 46 tahun.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP), Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) telah mendapat maklumat dan melakukan intipan sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, bot nelayan Kelas C itu ditahan atas cubaan seludup diesel pada kedudukan 2.3 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis pada pukul 5.23 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggaran nilai minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter dengan nilai RM 16,000 menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel adalah RM 216,000.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi dan Akta SKMM 1998, Seksyen 239 kerana penggunaan dan pemilikan peranti komunikasi yang tidak mengikut piawaian.
Mohd Hashim berkata, bot , kru serta hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti ZMKP sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti jenayah serta sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi seperti ini.
Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis 04-9851072 atau 04-9851162 untuk maklum balas segera. – SM
BACA “Stesen minyak” penyeludup simpan 17 tong drum minyak petrol, diesel diserbu
BACA Lagi sindiket seludup minyak diesel bersubsidi tumpas