Nasional

Cuaca panas dijangka beransur pulih pertengahan April

Cuaca panas yang berlaku sekarang dijangka beransur pulih pada pertengahan April apabila bermulanya fasa peralihan monsun.

Jabatan Meterologi dalam kenyataan memberitahu, berdasarkan analisis model-model cuaca, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024.

Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang telah bermula sejak 11 November 2023.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan  kedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

“Dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April,” kata kenyataan itu.

Pada 25 – 27 Mac 2024, negeri Perlis mencatatkan cuaca panas tahap 2 (gelombang haba) manakala daerah Hulu Perak, Perak mencatatkan cuaca panas tahap 2 pada 26 – 27 Mac 2024.

Seterusnya pada 25 Mac 2024, daerah Beaufort, Sabah mencatatkan cuaca panas tahap 2, manakala daerah Kota Setar, Kedah dan Pokok Sena, Kedah mencatatkan cuaca panas tahap 2 pada 27 Mac 2024.

Pada 25 Mac 2024, terdapat 41 daerah di Semenanjung, 3 daerah di Sarawak dan 1 daerah di Sabah  mencatatkan  cuaca panas tahap 1 manakala terdapat 37 daerah di Semenanjung, 2 daerah di Sabah dan 2
daerah di Sarawak mencatatkan cuaca panas tahap 1 pada 26 Mac 2024.

Seterusnya pada 27 Mac 2024, terdapat 31 daerah di Semenanjung dan 2 daerah di Sabah mencatatkan cuaca panas tahap 1.

Untuk rujukan, tahap 1 (berjaga-jaga: suhu maksimum harian 35°C hingga 37°C
sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut), tahap 2 (gelombang haba: suhu
maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya 3 hari
berturut-turut) dan tahap 3 (gelombang haba ekstrem: suhu maksimum harian
melebihi 40°C sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut). – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button