fbpx
Nasional

Covid 19: Solat Jumaat ditangguh di Perlis

TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN SOLAT JUMAAT DAN PENANGGUHAN AKTIVITI PENGIMARAHAN MASJID DI DUN SANGLANG, SERTA SEBAHAGIAN MASJID DALAM DUN SIMPANG EMPAT DAN DUN GUAR SANJI DALAM SITUASI ULANGAN PENULARAN WABAK COVID-19 DI PERLIS

Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah mengamati situasi semasa berulangnya penularan wabak Covid-19 di Perlis yang memerlukan tindakan segera ke arah membendung penularan di kawasan jangkitan terkini dan sekitarnya, adalah dimaklumkan bahawa Baginda telah berkenan menitahkan agar solat Jumaat diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing serta memperkenankan penangguhan aktiviti pengimarahan di 12 buah masjid bermula 7 Ogos 2020 di beberapa kawasan dengan ketetapan seperti berikut:

1- Kawasan & masjid kariah terlibat:
a) Semua masjid dalam DUN Sanglang;
i Masjid Al-Rahman, Kg. Simpang Sanglang
ii Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok
iii Masjid Darul Salam, Kg. Padang Keria
iv Masjid Al-Makmur, Kg. Bongor Kudung
v Masjid Al-Furqan, Kg. Bunga Emas
vi Masjid Asy-Syakur, Kg. Permatang Bongor
vii Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kg. Sungai Padang
b) Sebahagian masjid dalam DUN Simpang Empat iaitu:
i Masjid Putra, Simpang Empat
ii Masjid Al-‘Ilmi, Sungai Berembang
iii Masjid Ameer Fawwaz, Kg. Sungai Baru
c) Sebahagian masjid dalam DUN Guar Sanji iaitu:
i Masjid Nurul Yaqin, Kg. Chantik Bangun
ii Masjid Nurul Muttaqin, Kg. Che Ok.

2- Larangan mengimarahkan masjid di luar kariah:
Mereka yang berada dalam kawasan terlibat adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain. Anggota masyarakat yang mendapati terdapatnya aktiviti berkenaan, hendaklah segera melaporkannya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

3- Tarikh kuatkuasa & tempoh:
Arahan ini berkuatkuasa bermula Jumaat, 7 Ogos 2020 dan akan tamat sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.


4- Pengimarahan oleh pegawai masjid bertugas:
Adalah dititahkan kepada 4 orang pegawai masjid / AJK masjid terbabit untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan jemaah solat fardu dan solat Jumaat yang terdiri daripada tugasan imam, muazzin (bilal), siak dan penjaga kawasan mengikut giliran. Semua SOP keselamatan dan kesihatan MESTI dilaksanakan seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tiada kontak fizikal, serta melaksanakan penjejakan sosial selain disyaratkan sihat tubuh badan tanpa risiko jangkitan.

5- Seruan azan:
Laungan azan di masjid yang terlibat adalah dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn ‘Abbas RA.

Sungguhpun aset besar negeri ini adalah kerana rapatnya hubungan antara kita, namun kita perlu sama-sama berkorban dengan menjarakkan fizikal buat sementara waktu tanpa perlu menjarakkan kasih dan persaudaraan. Kita perlu menerima hakikat bahawa kita kini diuji lagi dengan penularan wabak Covid-19. Justeru, kita perlu bangkit bersama, menggembeleng tenaga dan menggandakan usaha dalam memastikan keadaan negeri yang kita cintai kembali pulih seperti sedia kala.

Bagi kariah-kariah selain daripada yang disenaraikan di atas, saya ingin memperingatkan semua pengurusan masjid di seluruh Perlis agar sentiasa melaksanakan semua SOP pengimarahan masjid seperti titah perutusan saya terdahulu, tanpa sebarang kompromi.

Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang Baginda kasihi, agar sentiasa bersatu hati dalam memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis tidak putus-putus berdoa agar keadaan akan segera pulih, dan dikurniakan keselamatan buat negeri dan negara tercinta.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 7 Ogos 2020 bersamaan 17 Zulhijjah 1441H

Show More

Related Articles

Back to top button