Rencah Hidup

COVID-19: Pusat Zakat buatlah sesuatu…

KOMENTAR

SUARA MERDEKA, portal yang dibangunkan oleh sekumpulan bekas wartawan Utusan Online/Malaysia yang diberhentikan kerja pada 9 Oktober tahun lalu, menerima beratus-ratus mesej di aplikasi WhatsApp daripada orang ramai menyuarakan rintihan hati terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari kedua, hari ini:

Antaranya, luahan hati daripada penjual air tepi jalan, pekerja kedai makan dan beberapa orang lagi yang bekerja dalam pelbagai sektor.

Suara Merdeka berharap agensi-agensi sedia ada terutama pusat-pusat zakat buatlah sesuatu untuk membantu mereka.

IKUTI LUAHAN HATI MEREKA:

“Bagaimana kami nak cari duit? Kami jual air balang tepi jalan. Anak ada enam. Sekarang tak boleh menjual pula,” rintih penjual air.

“Saya kerja kedai makan. Hanya tukang basuh pinggan. Langsung tiada simpanan. Dengan anak kecil, dengan sewa rumah, bagaimana nasib saya?” rungut pekerja kedai makan.

“Saya pula kerja kedai hardware dengan gaji rm300 seminggu. Beras habis, susu anak habis. Bil api baru sampai. Tuan rumah kejar sewa. Dan kini tak boleh kerja pula. Bagaimana saya hendak menyara keluarga saya?”

Kita melalui saat-saat sukar. Ia terkesan bukan hanya seorang dua. Beratus ribu keluarga, dan mungkin berjuta dari 33 juta rakyat Malaysia merasa kesan yang amat besar ini.

Pampers anak sudah habis, susu juga tinggal serdak, bil api, bil air, sewa rumah, sewa bilik, beras garam semua dipenghujung nyawa.

Nak kerja, tak boleh. Tak ada kerja, tak ada duit. Tak ada duit, kelaparan dan kesusahan. Banyak tertunggak hutang situ sini. Tekanan untuk dihalau keluar bilik, keluar rumah sewa pasti ada.

Surat merah bil untuk dipotong pasti akan tiba. Maka apa jalan penyelesaiannya?

Kawan-kawan…

Saat ini memang getir. Getir kita, getir lagi orang lain. Susah kita, perit lagi orang lain.

Kita kena saling sokong menyokong. Saling bantu membantu. Tolong cakna pada jiran-jiran sekeliling. Apa sudah makan mereka? Apa susu anak masih tersisa?

Syarikat besar, majikan-majikan, dan bos-bos semua. Tolong beri sedikit imbuhan pada pekerja kalian yang tidak boleh lagi keluar bekerja bermula esok hingga 31 Mac nanti.

Kerana mereka syarikat dan bisnes kalian maju jaya. Hingga ada yang untung berjuta-juta.

Kini mereka tersepit. Alangkah elok jika ada sumbangan/bonus/peruntukan khas untuk mereka saat gawat ini. Mungkin RM100-RM300 sudah cukup untuk membuat mereka lega.

Boleh juga beri pinjaman dan pendahuluan awal. Nanti selepas gawat, potonglah gaji mereka.

Bahkan jika ada empati dari bos dan majikan dengan sedikit sumbangan, pasti mereka akan membawa budi itu sampai mati. Mereka akan lebih jujur dan gigih bekerja untuk syarikat kalian lepas pada tempoh sekatan ini dan membawa pulang lebih banyak untung pada kalian juga.

Saat ini saat kita dilanda musibah. Kena ada rasa empati, kena bantu siapa sahaja yang boleh kita bantu.

Yang kerja sendiri tiada majikan, mungkin jiran-jiran yang lebih berada boleh bantu sekampit beras dan setin susu anak.

Syarikat besar macam Pizza Hut, McDonald’s, KFC dan seumpamanya pun diharap ada membuat CSR menghantar bantuan makanan ke lapang sasar. Mencari keluarga yang sangat perlukan bantuan, dan bantulah.

Syarikat gah yang membuat untung beratus juta sebelum ini hasil dari belian rakyat Malaysia patut kembali memberi saat ramai terduduk akibat sekatan ini.

Pusat zakat, NGO, YB, ketua kampung, imam dan sebagainya kena cakna dan tahu ahli kariah masing-masing yang sangat susah dan memerlukan bantuan.

Perlu segera kesan dan pantau kehidupan mereka saat sekatan. Hulurkan bantuan untuk mereka terus bertahan.

Kawan. Saat ini saat sukar. Saat ini saat gawat. Kerjasama, tolong menolong, perpaduan dan saling membantu antara sesama sangat perlu kita utama.

Hari ini kita membantu orang, mungkin suatu masa kita pula perlukan bantuan.

Jom sepakat bergandingan! – SM

(Visited 501 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button