Nasional

Akurlah dengan Perintah Kawalan Pergerakan

MALAM tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil membuat pengumuman khas sekali lagi di kaca televisyen meminta semua rakyat Malaysia duduk di rumah dan akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa kelmarin.

Namun begitu, ramai yang tidak mematuhi arahan tersebut yang bukan dikeluarkan kerana retorik politik atau dipolitikkan sebaliknya kes Covid-19 dalam negara semakin meningkat.

Bimbang dengan peningkatan kes dan untuk membendung daripada berlakunya gelombang ketiga Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan harus dipandang secara serius dan rakyat Malaysia harus bijak untuk duduk di rumah.

Malam tadi juga, Polis Selangor terpaksa mengadakan operasi besar-besaran kerana ada lagi segelintir masyarakat yang masih melepak dan berada di pusat-pusat membeli belah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima aduan terdapat segelintir orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah yang dikeluarkan kerajaan.

“Operasi bermula malam ini akan memastikan orang ramai tidak berada di luar rumah tanpa alasan munasabah, polis akan berikan pemahaman dan nasihat kepada mereka.

“Operasi ini akan melibatkan seluruh negeri yang mana mempunyai 16 daerah secara keseluruhan,” katanya semalam.

Mengulas lanjut Fadzil berkata, Ketua Polis Daerah akan mengadakan sekatan jalan raya di setiap kawasan mereka bagi memantau aktiviti orang awam dan menasihatkan mereka pulang.

“Polis akan menggunakan kaedah menasihati. Akan tetapi, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menangkap serta membuka kertas siasatan ke atas mereka yang masih berdegil.

“Kuasa polis yang ada di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) diguna pakai bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sekarang,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh ASTRO Awani.

Operasi yang dijalan, tegasnya, hanya akan berakhir selepas pihak polis berpuas hati dengan sikap orang ramai khususnya rakyat negara ini, akur dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. – SM

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button