fbpx
Politik

Covid-19 perlukan gabungan semua parti, tetapi PN gagalkan Pejuang, MUDA – Kit Siang

BERIKUTAN peningkatan jangkitan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang begitu mendadak, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar pertimbang kerjasama antara parti politik.

Namun, yang berlaku adalah sebaliknya apabila penubuhan parti baharu sepertu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) digagalkan kerajaan.

Hal berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan sekarang yang memerlukan gandingan semua Ahli Parlimen dalam menangani wabak.

Adakah kerajaan begitu takut dengan kewujudan Pejuang dan Muda sehingga menggagalkan cubaan untuk mendaftarkan parti tersebut di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Adalah satu jangkaan yang buruk apabila pandemik Covid-19 di Malaysia dalam keadaan yang boleh mengatasi Filipina dalam jumlah terkumpul pesakit wabak.


“Malaysia akan menjadi negara kedua terburuk di ASEAN di belakang Indonesia dalam catatan kes Covid-19.

“Sebab itulah saya mencadangkan semua parti bersinergi untuk menyelamatkan Malaysia daripada perkembangan buruk ini, terutama apabila Filipina mempunyai populasi tiga setengah kali ganda berbanding Malaysia.

“Saya tidak menjangkakan bantahan daripada pembangkang, sama ada DAP, PKR, Parti Amanah Negarai (Amanah) ataupun Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuklah Pejuang dan MUDA untuk bersama menangani wabak Covid-19 dan rasuah.

“Tetapi saya sememangnya menjangkakan situasi berdiam diri, malah bangkangan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO,  Pas dan parti lain dalam gabungan Kerajaan PN.”

Demikian kata veteran DAP, Lim Kit Siang menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya hari ini.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengatakan penafian daripada ROS terhadap pendaftaran Pejuang dan MUDA adalah tidak boleh diterima.

Menurutnya, ROS tidak sepatutnya menjadi alat politik kepada kerajaan untuk dimanipulasi dalam memenuhi agenda mereka.

“Kenapa Kerajaan PN takut sangat dengan ‘budak’ dan ‘orang tua’?

“Keadaan sekarang ini dilihat, ‘three-kingdom’ antara Bersatu, UMNO dan Pas sebagai gabungan pemerintah lebih mengutamakan survival politik berbanding kepentingan nasional,” kata Kit Siang.

Dalam kenyataan sama, Kit Siang turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan Covid-19 apabila mendakwa Malaysia melepasi Myanmar lebih awal daripada yang dijangkakan.

Menurutnya, gabungan Kerajaan PN adalah gagal mengawal  gelombang ketiga Covid-19 sejak tahun 2020 apabila jumlah jangkitan tertinggi yang dicatatkan semalam adalah tertinggi iaitu, 3,027 kes baharu.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan kes Covid-19 direkodkan adalah sebanyak 128,465 kes dengan 521 kematian.

“Pada 30 Disember lalu, saya menjangkakan kadar jangkitan Covid-19 akan mengatasi Myanmar dari segi jumlah keseluruhan dalam tempoh tiga minggu sehingga 19 Januari.

“Namun, saya silap, apabila Malaysia mengatasi Myanmar pada hari ini dan berada pada kedudukan ke-69 di seluruh dunia dan menjadi ketiga selepas Filipina dan Indonesia di seluruh ASEAN.

“Saya ingat Malaysia akan mengatasi Myanmar dalam masa 21 hari, tetapi kita melepasi lebih awal, 11 hari,” ujarnya. – SM

 

(Visited 88 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button