Nasional

Covid-19: Penjara Pulau Pinang asing banduan, petugas

PENJARA reman Pulau Pinang mengambil langkah segera, menjalankan pengasingan dan kuarantin ke atas banduan serta petugas.

Langkah itu dibuat selepas banduan dan petugas dipercayai mempunyai kontak rapat dengan seorang banduan dilaporkan meninggal dunia dalam penjara itu, semalam.

Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas sama ada banduan lelaki berkenaan meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19 atau tidak.

“Saya cuma boleh maklumkan sekarang ini kami di penjara, telah mengambil tindakan dengan membuat pengasingan serta mereka yang mempunyai kontak rapat dengan banduan tersebut, dikuarantin bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Berhubung sama ada banduan itu meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19, saya tidak boleh beri sebarang komen, kena tunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya hari ini.

Ditanya sama ada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan banduan tersebut perlu menjalani ujian saringan Covid-19, beliau memaklumkan ia ke arah itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Asmayani Khalid ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut dan meminta menunggu kenyataan akhbar berhubung Covid-19 daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Difahamkan, seorang banduan lelaki berusia 85 tahun itu tidak sedarkan diri dalam penjara tersebut, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button