Nasional

COVID-19: Negara pikul kecuaian Pakatan Harapan?

ARTIKEL yang dihasilkan oleh Senator Prof. Emeritus, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah yang juga merupakan Ahli Dewan Negara adalah untuk pengamatan bersama para pembaca SUARA MERDEKA.

1. Negara kini berhadapan dengan penularan virus COVID-19 secara serius dengan mencatatkan 37 kes kematian setakat hari ini dan jumlah ini semakin meningkat.

Rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab tidak seharusnya menjadikan isu Covid-19 ini sebagai bahan politik sama ada untuk mengutuk pihak Kerajaan sedia ada mahupun untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara, kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan dan menyemai sifat kebencian haruslah dielakkan sama sekali.

Apatah lagi jika kenyataan dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik yang pernah menjadi pemimpin Kerajaan juga satu ketika dahulu. Kita juga dapat lihat terdapat juga penyebaran berita-berita tidak benar atau berita palsu melalui internet dan media sosial pada hari ini yang menyebabkan rakyat merasa panik dan tertekan.

2. Ramai yang sedia maklum, kes Covid19 ini telah dicatatkan sejak 25 Januari 2020 lagi sewaktu pimpinan Kerajaan PH apabila Menteri Kesihatan ketika itu (Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad) telah mengesahkan kes pertama Covid19 ini membabitkan 3 warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor daripada Singapura pada 23 Januari 2020.

Kini, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri terpaksa memikul tanggungjawab dari kecuaian dan kesilapan Kerajaan PH itu. Beliau juga telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid19 ini daripada terus merebak dan berjangkit kepada orang ramai.

3. Sejak 25 Januari 2020 hingga 1 Mac 2020, sepatutnya Kerajaan PH mula menyekat pintu masuk Negara daripada rakyat China sebagai langkah utama kepada kawalan keselamatan penyakit ini daripada merebak.

Namun, pada waktu itu, pihak Kerajaan masih merasakan tindakan ini merugikan Negara dari sektor ekonomi. Sebagai contoh, sejak dari Januari 2020 lagi, beberapa pemimpin Kerajaan PH, iaitu Menteri Pelancongannya telah mula membuat kenyataan untuk menyokong kemasukan pelancong-pelancong daripada Negara China (Berita Harian, 22.01.2020) walaupun pada waktu itu, kes Covid19 ini telah mula merebak ke seluruh Negara China dan dunia.

4. Menteri Kesihatan pada waktu itu juga bersetuju dengan mengatakan pelancong-pelancong ini yang datang adalah mereka yang sihat-sihat belaka.

Menteri Pengangkutan PH pula tidak menyekat kapal-kapal persiaran dan kargo yang masuk ke Malaysia (Sinar Harian, 12.02.2020). Bahkan, Timbalan Perdana Menteri juga menyokong agar tiada sekatan diadakan terhadap kemasukan rakyat China ke Malaysia (Sinar Harian, 21.02.2020) walhal kebanyakan Negara lain telah menyekat secara sepenuhnya.

Oleh sebab itu, rakyat amat merasakan bahawa Kerajaan PH mengambil sikap sambil lewa dan mudah terhadap penyebaran Covid19 ini dan kemasukan pelancong daripada China yang mengeruhkan lagi keadaan di Malaysia. Walhal pada masa yang sama beberapa negara terutama dikalangan ASEAN sudah pun menutup pintu masuk ke negara masing-masing, terutama kepada pelancong dari negara-negara yang sudah dijangkiti wabak ini.

5. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa pemimpin PH yang menuduh kes Covid19 ini berpunca daripada orang Melayu apabila mengutuk dan menuduh golongan tabligh menyebarkan virus ini di Malaysia. Hakikatnya, mereka tidak melihat daripada awal bagaimana golongan tabligh ini terkesan dan menerima jangkitan virus Covid19 ini.

Perlu diingatkan bahawa kelulusan mengadakan perhimpunan tabligh ini telah diberikan oleh pihak Kerajaan PHdap pada 12 Februari walaupun pada 7 Februari, Singapura telah menaikkan status ancaman Covid19 ke tahap berbahaya. Bahkan, pada 11 Februari, WHO telah memberi amaran keras bahawa virus Covid19 berada di persimpangan yang cukup kritikal.

Tetapi malangnya, amaran WHO dan juga contoh tindakan Singapura dalam menghadapi wabak ini tidak dihiraukan oleh Kerajaan PH kerana satu hari selepas amaran WHO ini, pihak Kerajaan PH telah memberikan surat kelulusan perhimpunan tabligh tersebut. Bahkan, kalau mereka benar-benar bertanggungjawab sewajarnya masih sempat membatalkan perhimpunan tersebut memandangkan situasi yang cukup menakutkan pada waktu itu.

Yang anehnya dalam keadaan yang begitu kritikal, mereka memulakan program jelajah mengutuk Kerajaan Perikatan Nasional di seluruh negara demi kepentingan politik mereka semata-mata.

6. Apa yang lebih menyedihkan adalah, terdapat rekod yang menyatakan hampir 95 peratus pelancong-pelancong daripada China ini tidak mempunyai rekod keluar daripada Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan lagi apabila 680 warga China ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sewaktu salah satu serbuan di Cyberjaya, November 2019.

Apatah lagi dengan terbongkar kes pembelian MyKad (IC) palsu secara meluas yang beroperasi di Negeri Pulau Pinang pada September 2019, saya merasakan ia akan menjadi satu kes yang serius jika pihak Kerajaan tidak membendungnya dengan segera dan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pihak yang terlibat.

7. Sewajarnya, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita haruslah mengikut segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan. Sudah pasti Kerajaan melalui MKN akan memastikan perintah kawalan ini akan dipatuhi oleh setiap warganegara bagi memastikan kesan virus ini dapat dikawal dan diatasi sepenuhnya.

Sekarang adalah masa terbaik buat rakyat membantu Negara dengan hanya duduk di rumah, #juststayathome agar kita dapat menyelamatkan nyawa insan-insan lain.

8. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘front-liners’ sama ada para doktor, jururawat, staf KKM, PDRM, dan ATM yang bertungkus lumus membantu merawat rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid19 ini, menjaga keselamatan rakyat dan Negara serta pihak pemberita dan media yang memberi maklumat dan berita terkini berkaitan Covid19. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button