Nasional

Kerajaan disaran tangguh cuti Aidilfitri ekoran Covid-19

KERAJAAN dicadang untuk menangguhkan cuti Hari Raya bagi mengelakkan rakyat berpusu-pusu pulang ke kampung untuk meraikan perayaan tersebut sedangkan virus Covid-19 masih lagi berleluasa.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata,mengubah cuti Hari Raya ke tarikh lain tidak bermakna umat Islam tidak boleh meraikan kehadiran 1 Syawal.

“Anjakan cuti untuk berlebaran dengan alasan yang munasabah, terutama untuk mengelak orang ramai berkerumun atau berkumpul di satu-satu tempat adalah diharuskan di dalam Islam.

“Lebih-lebih lagi jika ini dilakukan untuk menghindari penularan wabak yang boleh mengancam nyawa manusia.

“Kerajaan berhak mengadakan apa jua peraturan atau mengeluarkan apa jua arahan untuk kepentingan rakyat, termasuk mengubah tarikh cuti hari kebesaran agama seperti Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal berita FMT.

Sebelum ini terdapat cadangan oleh kumpulan peruatan supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan perlu dilanjutkan sehingga selepas Aidilfitri yang akan disambut pada Mei.

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dalam kenyataan berkata, pandemik COVID-19 telah menjadikan jarak sosial satu kemestian baharu yang perlu dipatuhi sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu sehingga keadaan terkawal sepenuhnya.

“Risiko penyebaran virus itu terutamanya kepada golongan warga tua, dalam kes ‘balik kampung’ beramai-ramai adalah sesuatu yang nyata.

Risiko dikaitkan dengan keadaan sesak di stesen R & R dan juga kegagalan melaksanakan jarak sosial oleh kalangan orang ramai semasa balik kampung dan kemudian pulang semula ke kawasan bandar juga perlu diambil kira,” kata kenyataan itu dipetik dari  BERNAMA

Sebanyak 156 kes baharu COVID-19, dan dua kematian dilaporkan setakat tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini sebanyak 4,119, dengan 65 kematian.

AMM berkata sikap bertanggungjawab dalam mematuhi langkah jarak sosial perlu ada pada setiap orang sehingga adanya vaksin.

Bagi tahun ini sekurang-kurangnya, sama ada perhimpunan pada Ramadan, Aidilfitri atau malah Haji — perlu dikawal, dipantau dan jika boleh haramkan perhimpunan ini.

AMM juga menggesa kerajaan untuk memantapkan perancangan bagi mengurangkan masalah yang timbul oleh pandemik itu terhadap sosi-ekonomi kerana ia terus memberikan kesan negatif terhadap semua aspek ekonomi Malaysia dan sebab itu kenapa ia memerlukan pendekatan jitu oleh kerajaan dan semua masyarakat.

“Perang terhadap COVID-19 masih jauh lagi untuk berakhir, banyak pengorbanan telah dibuat dan akan perlu diteruskan pada tahun ini. Mari kita tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia boleh melaksanakan kekangan dan memastikan perang ini berakhir,” kata kenyataan itu.

Semalam Bernama melaporkan orang ramai akan tahu pada esok (10 April) sama ada PKP, dikuatkuasakan sejak 18 Mac, akan dilanjutkan atau tidak untuk mengekang penularan COVID-19.

Pada awalnya PKP dikuatkuasakan sehingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan ke 14 April dan esok kerajaan dijangka membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu sama ada PKP akan dilanjutkan.

Akademi Perubatan Malaysia, merangkumi 11 Kolej dan 15 Chapter, adalah sebuah badan berdaftar yang mewakili semua pakar perubatan di Malaysia. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button