Subsidi upah elak pembuangan pekerja ketika wabak Covid-19
KERAJAAN memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd, Yassin, dalam keadaan yang sukar berikutan wabak COVID-19 beliau saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan.
“Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan subsidi upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
“Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari 2020,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion hari ini.
Menurut Muhyiddin, majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program tersebut dilaksanakan.
Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja. Program tersebut dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.
BERKAITAN:
- Kerajaan peruntuk RM1 bilion jamin bekalan makanan
- Pakej Prihatin: Teks penuh pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Elaun petugas barisan hadapan ditingkatkan
Pakej Prihatin itu bertujuan untuk meringankan beban rakyat daripada semua peringkat yang kehidupan mereka terjejas akibat wabak Covid-19.
Pakej berjumlah RM250 bilion akan memberi manfaat kepada semua dengan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
Sebanyak RM100 bilion lagi untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua.
“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.
“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” tegas Muhyiddin. -SM