Luar Negara

Covid-19 di Samut Sakhon: Thailand tidak laksana perintah sekatan

THAILAND tidak akan mengadakan atau pun melaksanakan perintah sekatan di seluruh negaranya bagi membendung penularan gelombang baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan pasar makanan laut atau pasar udang di barat daya wilayah Samut Sakhon.

Bagaimanapun laporan berita mengatakan, kerajaan Thailand akan meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan bagi mengekang penularan terkini wabak tersebut yang menyaksikan lebih 1,200 orang jangkitan Covid-19 di 27 wilayah di negara tersebut sejak minggu lepas.

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti adalah pekerja asing dari negara jiran, Myanmar dan tidak mempunyai sebarang gejala.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) hari ini berkata, gelombang baharu pandemik tersebut di negara itu adalah terkawal.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu, beliau berkata, semua wilayah dibahagikan kepada empat kategori iaitu kawalan tinggi (kawasan dengan jumlah jangkitan tinggi seperti Samut Sakhon), kawalan biasa (lebih 10 kes disahkan seperti Bangkok), di bawah pengawasan tinggi (kawasan di mana kurang 10 orang dijangkiti dan keadaan adalah terkawal) serta di bawah pengawasan biasa (tiada kes dilaporkan).

“Langkah pengezonan akan membolehkan pegawai kesihatan menangani dan menguruskan situasi dengan berkesan.

“Kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan. Pada masa sama, kerjasama rapat daripada semua sektor adalah penting bagi membendung penularan jangkitan virus itu,” katanya.

Beliau berkata, gabenor wilayah akan memutuskan acara dan aktiviti yang boleh diadakan atau mengeluarkan arahan bergantung kepada keadaan dari semasa ke semasa.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai membabitkan seorang penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif virus berbahaya tersebut pada minggu lepas.

Susulan peningkatan kes Covid-19, Samut Sakhon dikenakan perintah sekatan dan perintah berkurung pada waktu malam iaitu dari pukul 10 malam sehingga 5 pagi keesokannya sehingga 3 Januari depan.

Semua sekolah, stadium sukan, stadium tinju, taman asuhan kanak-kanak dan salon kecantikan adalah antara tempat yang ditutup dan hanya perkhidmatan atau perniagaan yang menjalankan operasi makanan bawa pulang sahaja dibenarkan.

Sepanjang tempoh 24 jam lalu, Thailand melaporkan 67 kes baharu Covid-19 termasuk 58 jangkitan tempatan (55 dikaitkan dengan pasar makanan laut Samut Sakhon), lapan kes di pusat kuarantin alternatif negara (ASQ) dan satu kes membabitkan kemasukan secara haram serta mengelak kuarantin.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 5,829 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissnuyothin berkata, pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pengesanan kes di kawasan kawalan tinggi dan kawalan biasa.

“Sambutan tahun baharu tidak dibenarkan di kawasan kawalan tinggi,” katanya.

Bagaimanapu beliau berkata, sambutan di tiga kawasan lain akan dibenarkan dengan peraturan ketat termasuk mengehadkan kehadiran.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa akan meningkatkan rondaan di 55 lokasi sepanjang sempadan bagi mengekang kemasukan secara haram dan mengelak kuarantin.

“Sejumlah 12 pusat pemeriksaan akan diwujudkan,” katanya. – SM

 

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button