Nasional

Covid-19: Bilangan kes baharu terendah 69 orang, 56.50 peratus sembuh

BILANGAN kes baharu positif Covid-19 mencatatkan jumlah terendah iaitu 69 orang sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Jumlah jangkitan terendah pertama kali dicatatkan dua hari lalu iaitu 85 kes.

Untuk empat hari berturut-turut jumlah bilangan mereka yang pulih daripada jangkitan itu mengatasi jumlah kes baharu. Seramai 201 orang lagi sembuh daripada Covid-19 dan itu menjadikan keseluruhan mereka yang pulih dan dibenarkan pulang seramai 2,967 orang.

Jumlah sembuh tersebut merupakan 56.50 peratus daripada jumlah keseluruhan 5,251 kes positif Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi adalah seramai 51 orang dan 26 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara dua orang lagi menjadi korban virus maut itu menjadikan keseluruhan kes kematian di negara kita adalah sebanyak 86 kes atau 1.64 peratus daripada keseluruhan kes dijangkiti virus tersebut.

Sementara itu memetik laporan BERNAMA, Dr. Noor Hisham berkata, hanya satu pertambahan kes positif COVID-19 dilaporkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ini,  kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata satu-satunya kes itu dicatatkan di lain-lain lokaliti di luar Bandar Baru Ibrahim Majid di Kluang, Johor.

“Pertambahan satu kes COVID-19 menjadikan jumlah kes di lain-lain lokaliti di luar Bandar Baru Ibrahim Majid kepada 39 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas Dr Noor Hisham, kes COVID-19 di kawasan PKPD yang lain iaitu Bandar Baru Ibrahim Majid kekal 183 kes, Kampung Sungai Lui kekal 131 kes, bukan Kampung Sungai Lui kekal 315 kes.

Sementara kes COVID-19 di Menara Plaza City One kekal 39 kes, Malayan Mansion kekal empat kes, di Selangor Mansion kekal 84 kes.

Kawasan PKPD paling baharu iaitu Masjid India belum mencatatkan sebarang kes setakat hari ini, katanya.

Mengenai kluster Sri Petaling, Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini bilangan individu yang diperiksa ialah 28,201 dengan 26,199 sampel sudah diambil.

Bilangan individu yang positif daripada kluster berkenaan ialah 1,946 dengan  22,900 individu adalah negatif, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster persidangan gereja di Kuching mencatatkan sembilan kes baharu manakala terdapat lima kes baharu di kluster kilang di Pasir Gudang.

Kluster di Sabah yang menghadiri perhimpunan tabligh Makassar mencatatkan dua kes baharu, katanya.

Menurutnya satu lagi kluster yang mencatatkan dua kes baharu adalah kluster petugas kesihatan Sabah.

Kluster pesakit dalam siasatan yang berkaitan dengan Bali mencatatkan  satu kes baharu manakala kluster kejuruteraan di Pahang mencatatkan satu kes baharu, katanya.  -SM

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button