Agama

Cinta Rasulullah adalah tuntutan agama

Cinta kepada Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan agama di mana baginda memberikan manfaat kepada dunia dan akhirat. Justeru, apa sahaja yang datang dan berkaitan Rasulullah SAW amat penting, perlu kita ketahui dan hayati. Begitu jugalah dengan mengenali ‘Ummahat al-Mukminin’ atau ibu orang-orang beriman iaitu gelaran kepada isteri-isteri baginda SAW yang perlu kita kenali, hormati serta pelajari kisahnya.

Mengenali ‘Ummahat al-Mukminin’ secara dekat akan menjadikan umat Islam menghormati, memuliakan dan berusaha mengambil semangat daripada sifat baik yang ditunjukkan oleh mereka.

Antara kecemerlangan ‘Ummahat al-Mukminin’ dalam sejarah hidup mereka ialah penglibatan mereka dalam penyebaran hadis daripada Nabi SAW. Nama Saidatina Aishah, Ummu Salamah dan Ummu Habibah sangat biasa didengari bagi mereka yang mempelajari hadis baginda. Pastinya jasa mereka ini akan dikenang oleh umat Islam dalam memahami agama Islam.

Islam telah memartabatkan golongan wanita berbanding semasa zaman jahiliah yang mana wanita tidak diberikan sebarang penghormatan dan tidak dibenarkan untuk bersuara. ‘Ummahat al-Mukminin’ tidak ketinggalan terlibat dalam memberi sumbangan dalam bidang keilmuwan dan kefatwaan. Saidatina Aishah umpamanya menjadi pakar rujuk sahabat dalam permasalahan agama. Abu Musa al-Ash’ari berkata:

“Tidak ada satu hadis pun yang memberikan kemusykilan kepada kami melainkan kami akan dapati pada Aishah ada jawapannya”.

Mengambil semangat ini, golongan wanita hari ini perlu mencontohi jasa ‘Ummahat al-Mukminin’ dalam penyebaran ilmu yang bermanfaat. Golongan wanita Muslim hari ini tidak harus diketepikan dalam pembangunan ilmu.

Selain itu, jasa ‘Ummahat al-Mukminin’ dalam memberikan semangat kepada Nabi SAW ketika berdepan ujian dakwah juga perlu diberikan perhatian. Saidatina Khadijah telah bertindak sangat bijak dengan menenangkan Nabi SAW setelah menerima wahyu pertama di gua Hira’. Benarlah kata pepatah: “setiap kejayaan lelaki pastinya ada wanita di belakangnya”. Kisah ini memberikan indikator bahawa wanita perlu bertindak menjadi penenang kepada suami dan keluarga ketika berhadapan dengan cabaran dan tribulasi terutama di waktu pandemik ini.

Menelusuri sejarah Ummahat al-Mukminin akan memberikan umat Islam rasa kagum terhadap tahap kesabaran mereka menghadapi ujian hidup. Aishah pernah dituduh dengan tuduhan jahat oleh golongan munafik dalam peristiwa al-Ifk. Fitnah jahat ini disebarkan oleh golongan munafik. Kesabaran Aishah ketika menghadapi ujian fitnah ini sangat mengkagumkan. Tawakal beliau kepada Allah menjadikan beliau kuat meneruskan kehidupan sehingga turunnya wahyu membersihkan namanya daripada fitnah jahat tersebut. Sifat ini harus dicontohi oleh umat ini apabila berhadapan dengan ujian terutama di zaman pandemik ini.

Di samping itu, keyakinan Ummahat al-Mukminin kepada rahmat Allah juga tidak boleh dilupakan. Lipatan sejarah membuktikan Ummu Salamah mengamalkan doa yang diajar oleh Nabi SAW ketika ditimpa musibah kematian suaminya Abu Salamah. Doa itu diamalkan dengan kepercayaan bahawa Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Akhirnya kepercayaan Ummu Salamah kepada Allah memberikannya gantian lebih baik apabila Nabi SAW menjadikannya sebagai isteri.

Antara sifat utama ‘Ummahat al-Mukminin’ yang paling menonjol bagi sesiapa yang membaca sirah Nabi SAW ialah penghormatan mereka kepada suami. Saidatina Aishah umpamanya, apabila ditanya tentang sifat suaminya beliau berkata:

Akhlak baginda ialah al-Qur’an. Ini antara resipi kejayaan sesebuah keluarga yang patut dicontohi oleh wanita hari ini iaitu menghormati suami sebagai ketua keluarga.

Demikian menurut Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dalam pembentangan beliau berjudul ‘Wacana: “Ummahatul Mukminin, Suri Teladan Kecemerlangan Wanita” pada ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara maya bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE)”.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Suara Sunnah Channel.

Terdahulu daripada itu, dalam titah perasmian baginda, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa golongan wanita mempunyai potensi serta peranan besar khususnya dalam mendidik anak-anak. Ini tidak bermakna wanita hanya mampu menguruskan rumah tangga semata-mata, tetapi berperanan besar dalam menyumbang kepada pembentukan watak dan nilai terhadap anak-anak, jelas baginda.

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button