Ekonomi

CIDB, MRCB jalin kerjasama tingkat kebolehpasaran graduan TVET pembinaan

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET
dalam industri Pembinaan Malaysia.

Kerjasama ini akan dilaksanakan menerusi pembangunan kompetensi pelatih TVET termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan.

Program kerjasama ini akan memberi tumpuan khusus kepada Pembinaan Modular, iaitu satu kaedah pembinaan mampan yang mampu mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, serta mengurangkan pergantungan industri kepada tenaga buruh asing.

Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) oleh CIDB Holdings, anak syarikat CIDB Malaysia dan MRCB.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia yang juga merangkap Pengerusi CIDB Holdings, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, menandatangani MoU tersebut bagi pihak CIDB Holdings, manakala MRCB diwakili Naib Presiden Eksekutifnya, Datuk Sri Dr. Judin Abdul Karim.

Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir di dalam majlis tersebut ada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Supian Musa.

MoU ini ditandatangani berikutan pembentangan Bajet 2023 yang menyebut MRCB sebagai peneraju industri pembinaan yang dikenal pasti untuk memperkasakan kerjasama awam-swasta dalam memastikan program-program TVET dapat memenuhi tuntutan industri.

Menerusi kerjasama ini, MRCB akan memberikan sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, pembangunan kurikulum dan bahan latihan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak. Selain itu, MRCB akan turut memberi sumbangan khidmat kepakaran dalam peningkatan kebolehpasaran graduan TVET dalam pembangunan kompetensi termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan.

Selain itu, MRCB juga akan memberi pertimbangan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET yang berkelayakan.

Sementara itu, CIDB Holdings akan berkongsi maklumat dan kepakaran, berkaitan pembangunan kapasiti dan program latihan kecekapan kemahiran, inovasi dan teknologi pembinaan yang boleh menambah nilai kepada bidang pembinaan dan lain-lain seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua Pihak. CIDB Holdings juga akan memberi kerjasama dengan memberi input dan menyokong inisiatif penambahbaikan latihan melalui penambahbaikan kurikulum dan bahan pembelajaran.

Perlaksanaan kerjasama ini akan melibatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Tech, iaitu pusat latihan yang dikelolakan CIDB melalui CIDB Holdings.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button