Cerita saya terkena buatan ‘minyak pengasih’ tidak benar – Neelofa
DAKWAAN yang mengatakan bahawa personaliti terkenal, Neelofa terkena buatan minyak pengasih adalah tidak benar.
Tuduhan tersebut keluar selepas terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa hubungan antara Neelofa dan Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz sudah retak sejak semalam.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Nor berkata, cerita berkenaan minyak pengasih itu tidak benar dan merupakan satu tuduhan yang amat berat.
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang
terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.
“Saya turut menafikan dakwaan yang mengatakan saya telah memindahkan sejumlah yang agak banyak kepada Haris.
“Dakwaan yang mengatakan saya telah melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan juga tidak benar,” katanya.
Menurut Neelofa, dia memohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai status hubungannya bersama Haris, Neelofa berkata tidak manis untuknya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan
untuk mencari titik penyelesaian.
“Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Neelofa berkata, dia juga ingin memohon maaf kepada keluarganya dan keluarga Haris di atas apa yang telah berlaku.
Jelasnya, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi mereka masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang
yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati.
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan,” jelasnya.
Tambahnya, dia juga meminta doa daripada semua terhadap dirinya dan menghargai segala sokongan yang telah diberikan.
Semalam, nama Neelofa dan Haris menjadi trending di Twitter selepas hubungan mereka didakwa mempunyai masalah.
Malah, ahli keluarga Neelofa juga dilihat memuat naik status yang berbaur sindiran yang dipercayai berkaitan dengan Haris. -SM