fbpx
Nasional

Kes baharu Covid hari ini turun, 1 kematian

SEBANYAK 1,191 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini turun separuh berbanding semalam yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,335.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 392 kes. Daripada jumlah itu sebanyak 237 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Kuala Lumpur merekodkan kes baharu kedua tertinggi iaitu 202 kes dan Johor sebanyak 194 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sejumlah 997 kes telah sembuh hari ini.

Keseluruhan sebanyak 20,233 kes sedang mendapat rawatan dengan 111 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 50 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.


“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 452 kes,” kata Dr. Noor Hisham.

Jelas beliau kes kematian itu melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 71 tahun yang jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Hari ini satu kluster baharu dikesan berbanding 11 kluster baharu yang direkodkan semalam.

Kluster Jalan Sedco iaitu kluster di tempat kerja melibatkan daerah Tawau dan Kalabakan di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-92107 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Disember melalui saringan individu bergejala. Sjumlah 26 individu telah disaring di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19.

Menurut Dr. Noor Hisham,  tiga kluster tamat hari ini iaitu Kluster Kerengge, Kluster Alila, dan Kluster Gemilang.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 213 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak45 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tampoi Jaya (78 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes),  dan Kluster Beringin (30 kes),” katanya.-SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button