Calon BN Bukit Pasir bantu ibu berkerusi roda mengundi
DALAM kesibukan berkempen, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohamad Fazli Mohamad Saleh tidak melupakan tanggungjawab terhadap ibunya.
Ibu kepada calon BN itu, Fuziah Saadon, 60, berkerusi roda tetapi tidak menjadikan kekurangan pada dirinya untuk turut sama mengundi bersama anaknya di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jorak, hari ini.
Mohamad Fazli yang berpakaian baju putih tiba di SK Jorak kira-kira pukul 9.00 pagi tadi, menolak ibunya menggunakan kerusi roda bersama-sama untuk mengundi dan selesai melaksanakan tanggungjawab kira-kira pukul 9.30 pagi.
Mohamad Fazli ketika ditemui berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya setiap kali pilihan raya beliau dan ibunya akan mengundi di pusat mengundi yang sama.
Katanya, walaupun ibunya sukar bergerak namun dia tetap mahu menunaikan tanggungjawab keluar mengundi bagi memilih kerajaan yang akan mentadbir Johor.
“Setakat ini, saya puashati dengan perjalanan proses pengundian yang berjalan lancar. Saya lihat saluran 1 dan saluran 2 mendapat sambutan yang baik begitu juga di saluran 3 yang dikhususkan untuk pengundi orang muda,” ujarnya.
Mohamad Fazli menghadapi saingan enam penjuru berdepan Iqbal Razak daripada Perikatan Nasional (PN), Elia Nadira daripada Pakatan Harapan (PH), Kapten (B) Najib Lep bertanding atas tiket Bebas, Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang) dan Johar Siraj (Bebas).
Untuk rekod kerusi DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dimenangi oleh Najib sewaktu bertanding atas tiket Pas.
Namun dia mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRN Johor menentang rakan sendiri dari Pas iaitu Iqbal. Keputusannya itu menyebabkan secara automatik dia hilang keanggotan dalam parti. – SM