Cabaran belia mendepani arus digitalisasi pasca Covid-19
Oleh: DR. NOR ASIAH MOHAMAD @ RAZAK
ORGANISASI Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Coronavirus (COVID-19) adalah satu cabaran global kerana wabak ini telah menular di 177 negara dunia sehingga April 2020.
Akibatnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dan telah mengancam ekonomi dunia sebanyak 12% penurunan pendapatan bagi Januari hingga Mac 2020.
Menurut statistik Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka negatif bagi baki tahun 2020 disebabkan kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Oleh sebab itu, beberapa negara di Asia dan Eropah telah mula melonggarkan sekatan bagi memulihkan ekonomi mereka.
Dalam situasi ini, belia paling terkesan kerana mereka adalah tulang belakang masyarakat.
Statistik tahun 2019 menunjukkan 1.8 bilion manusia di dunia berusia antara 15 hingga 35 tahun, merupakan seperempat populasi global adalah belia.
Pelbagai definisi umur untuk belia di seluruh dunia, namun penulis merujuk istilah belia berdasarkan definisi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Malaysia, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun.
Oleh itu, artikel ini memfokuskan kepada cabaran belia mendepani arus digitalisasi pasca COVID-19. Daripada
penelitian penulis, tiga cabaran utama belia ialah pendidikan, pengangguran, dan kesihatan mental.
Pasca COVID-19 mempengaruhi pendidikan golongan belia kerana berjuta-juta belia di seluruh dunia tidak dapat meneruskan pembelajaran secara fizikal bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Sekitar tahun 2020, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, OECD telah mengumumkan penutupan sekolah dan institusi pendidikan tinggi telah dilaksanakan di 188 negara di seluruh dunia, mengakibatkan pengajaran dan pembelajaran tertunda dan memberi cabaran kepada 1.7 bilion pelajar termasuk belia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga melaporkan 94% belia di seluruh dunia terkesan dari segi aspek kelangsungan pendidikan mereka.
Bagaimanapun, COVID-19 tidak boleh dianggap sebagai aspek yang menghalang kemajuan pembelajaran
dalam kalangan belia. Penutupan sekolah telah mendorong pengajaran dan pembelajaran di rumah, PdPR.
Oleh itu, seluruh dunia termasuk Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mengarahkan semua pensyarah untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian bagi memastikan belia mendapat pendidikan yang sewajarnya ketika berada di rumah.
Keadaan ini menjadi cabaran kepada belia apabila persekitaran yang sedia ada tidak menjamin mereka
untuk mengikuti PdPR.
Pengangguran dalam kalangan belia adalah salah satu faktor yang perlu diambil kira bagi pasca COVID-19 kerana lebih daripada 30 juta belia kehilangan pekerjaan di seluruh dunia, seperti yang digambarkan oleh negara-negara G7 iaitu Amerika Syarikat dan Jepun, masing-masing sekitar 30 juta dan 1.76 juta bagi tahun 2020.
Belia adalah golongan utama berhadapan kehilangan pekerjaan atau terpaksa bekerja dengan bayaran yang rendah daripada kelayakan akademik kerana kurang pengalaman berbanding golongan dewasa.
Contohnya, satu kajian di UK oleh Learning and Work Institute mendapati kebanyakan pekerja yang bekerja di sektor penutupan adalah belia pada usia purata 39 tahun, cenderung kehilangan pekerjaan kerana kilang menghentikan operasi berbanding dengan golongan dewasa pada usia 43 tahun yang boleh bekerja dari rumah.
Menurut PBB, kebanyakan belia bekerja di ekonomi tidak formal atau dengan kata lain, ekonomi GIG, terkesan secara negatif dengan COVID-19. OECD pula berpendapat belia sama ada lelaki atau perempuan mempunyai pendapatan yang lebih rendah berbanding golongan dewasa.
OECD juga melaporkan belia hari ini 2.5 kali lebih cenderung menganggur berbanding golongan yang berumur melebihi 40 tahun, sekali gus mengurangkan kepercayaan belia terhadap kerajaan, iaitu sekitar 45% pada tahun 2020.
Akibat dari masalah pengangguran ini, belia menghadapi ketidakstabilan ekonomi. Contohnya, kajian di negara maju, iaitu England, mendapati belia tiada simpanan dan sukar untuk mereka bertahan dalam tempoh tiga minggu bagi mendapatkan gaji berikutnya.
Kajian di London pula mendapati belia dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun berhadapan kemiskinan setelah membayar kos perumahan mereka.
Kajian empirik menunjukkan pertambahan kes kesihatan mental belia bagi pasca COVID-19 kerana ketidaktentuan pendidikan dan ketidakstabilan ekonomi.
Menurut PBB, lebih daripada satu bilion belia tidak lagi berada di kelas secara fizikal setelah penutupan sekolah dan universiti juga menerima nasib yang sama bermula bulan Mac 2020.
Akibat daripada situasi ini, kerajaan menggalakkan semua institut pengajian tinggi menggunakan platform pembelajaran dalam talian dengan menggunakan pelbagai kaedah bagi kelangsungan pembelajaran.
Namun, mengubah kaedah pembelajaran dari konvensional kepada digital menjadi tekanan kepada belia kerana di kawasan pinggir bandar, capaian Internet terhad dan pelaksanaannya juga drastik menyebabkan mereka sukar untuk mengadaptasi.
Sebagai contoh, satu kajian mengenai Orang Asli di Canada mendapati pembelajaran dalam talian tentunya tidak bermanfaat kerana pelajar sudah menghadapi masalah kehadiran kerana tidak terlibat dalam pendidikan awam, dan sekarang perlu bergelut dengan capaian Internet.
Satu kajian menyeluruh di China terhadap 584 belia, mendapati bahawa hampir 40.4% belia cenderung mengalami masalah psikologi pada pasca COVID-19 kerana berpendidikan yang tidak menentu.
Kesimpulannya, pasca COVID-19 memberi cabaran kepada belia mendepani arus digitalisasi dari segi pendidikan, pengangguran, dan kesihatan mental.
Cabaran ini akibat daripada kemerosotan ekonomi dan sosial dengan pelaksanaan PKP menyebabkan belia berada pada lintasan yang jauh lebih sukar dalam mencari dan mempertahankan kualiti pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan.
Oleh itu, penulis mencadangkan kerajaan harus menyelesaikan cabaran belia ini dengan empat kaedah:
1. Menyediakan capaian Internet yang secukupnya agar belia dapat meneruskan pembelajaran PdPR,
2. Memberi sokongan, seperti bantuan kewangan dan latihan kepada belia, terutama golongan berisiko tinggi.
3. Memperkenalkan skim kepada industri utama untuk menggaji belia yang kurang pengalaman. Skim ini akan membantu golongan belia untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam organisasi tersebut sekali gus berkemungkinan diserap sebagai pekerja tetap.
4. Memperketatkan peraturan yang sedia ada, seperti gaji minimum, untuk mencegah eksploitasi pekerja berkemahiran rendah yang kebiasaannya belia.
Dr Nor Asiah Mohamad @ Razak merupakan Pensyarah Kanan, Jabtan Komputeran, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris. – SM