Nasional

Cabaran belia Melayu semakin kompleks

DEPANI wabak Koronavirus (Covid-19) menjadi satu anjakan baharu dalam mendepani cabaran bagi belia Melayu khusunya di bandar.

Ini kerana Covid-19 memberi impak yang cukup meluas merangkumi pelbagai aspek terutama ekonomi apabila mempengaruhi pekerjaan dan perniagaan dalam skala yang besar.

Malah, peningkatan jumlah kes akhir-akhir ini juga menimbulkan kebimbangan lama terhadap penularan pandemik tersebut.

Ini kerana, jika kerajaan tiada pilihan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia sekali lagi memberi impak yang berulang terhadap ekonomi negara.

Lebih membimbangkan, penularan yang disifatkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai gelombang ketiga itu dijangka menyebabkan impak berganda buruknya berbanding PKP kali pertama pada Mac lalu.

“Terdapat tiga aspek cabaran yang perlu difokuskan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan.

“Iaitu, isu pendidikan, pengangguran dan ekonomi belia Melayu di bandar.

“Ketiga-tiga isu berkenaan cukup terkesan dengan penularan Covid-19 khususnya di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi berbanding luar bandar.

“Dalam situasi ini antara inisiatif yang boleh dilakukan belia adalah membangunkan ekonomi kendiri menerusi ekonomi gerak insan gemilang (GIG) seperti perkhidmatan penghantaran.

“Pelbagai lagi isu lain perlu difokuskan, namun menangani masalah yang sedang melanda sekarang adalah lebih signifikan.

“Ini kerana, kuat belia Melayu di bandar maka kuatlah belia negara. Jika lemah belia Melayu di bandar maka lemahlah belia negara.”

Demikian kata Setiausaha Sulit Kanan, Azim Harun yang membacakan ucapan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah hari ini.

AZIM HARUN (kiri) menandatangani poster sebagai gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan disaksikan Pengerusinya Khairul Rizam di Dewan Azman Hashim UTM Kuala Lumpur hari ini. – SM

Beliau mewakili Mohd. Shahar hadir ke perasmian Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusinya, Khairul Rizam Abu Samah dan Pro Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Wakil jabatan kerajaan dan organisasi belia turut hadir seperti Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Tony Azman Hassan, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed.

Dalam pada itu, Khairul Rizam dalam ucapannya menggesa satu inisatif membantu belia di bandar khususnya Wilayah Persekutuan.

Ini termasuklah bantuan sebagai persediaan bagi belia berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19 yang dijangka memberi impak lebih besar.

“Saya menyeru kepada kerajaan supaya dapat menyediakan bantuan seperti subsidi khas kepada mahasiswa untuk pembelajaran dalam talian (online).

KHAIRUL RIZAM ABU SAMAH

“Ini sebagai kemudahan kepada akses internet bagi pelajar dan pensyarah melaksanakan pembelajaran secara online.

“Di samping itu, menyediakan bantuan kit pembelajaran online seperti alat pendengaran dan percakapan serta keperluan lain untuk tujuan tersebut.

“Bagi sektor ekonomi belia pula, ekonomi GIG antara yang menjadi pilihan mereka untuk menjana pendapatan.

“Saya memohon, agar disediakan bantuan 1,000 motosikal kepada belia yang mahu menyertai sektor ekonomi tersebut dalam perkhidmatan penghantaran (delivery service).

“Selain itu, saya juga berharap Batuan Prihatin Nasional (BPN) dapat diteruskan sehingga wabak Covid-19 pulih sepenuhnya,” ucapnya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button