Nasional

Noraini mohon maaf dan haraf dapat bersama-sama bendung Covid-19

PELAJAR yang telah mendaftar boleh terus kekal berada di dalam kampus masing-masing sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad meminta pihak Institus Pengajian Tinggi supaya bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar ke IPTA.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke Universiti.

“Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid19 ini,” kata Noraini dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam KPT mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.


Bagaimanapun keputusan itu menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan keluaga yang telah tiba di kampus masing-masing untuk pendaftaran masuk.

Beratus-ratus pelajar mengunakan Twitter untuk meluahkan kesukaran yang mereka hadapi terutama berkaitan kos pengangkutan dan penginapan berikutan keputusan saat akhir itu.

Beberapa ahli politik terutama pembangkang mengkritik keputusan yang dibuat oleh KPT dan melancarkan tabung dan dana untuk membantu pelajar terbabit.

Menurut Noraini, cadangan yang dibuat oleh KPT adalah disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang di luar jangkaan sejak beberapa hari lalu.

“Kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal,” kata Noraini.

Kementerian itu juga memberitahu, syarikat penerbangan sudah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar terutama yang sudah membeli tiket untuk pulang ke kampus masing-masing sehingga 31 Disember ini, hasil rundingannya dengan syarikat penerbangan yang terbabit.

Kes COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak, dengan yang terbaharu semalam, mencatatkan kes harian tertinggi 287 jangkitan tempatan.-SM

 

 

 

 

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button