Bursa Malaysia, Nasdaq ambil tindakan elak gangguan sistem dagangan berulang
BURSA Malaysia Securities Bhd dan rakannya, Nasdaq telah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan gangguan pada sistem dagangan daripada berulang di masa depan.
“Kami memohon maaf kepada semua pelanggan dan pihak berkepentingan kami atas gangguan yang berlaku,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift dalam satu kenyataan.
Pasaran saham tempatan kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 9.00 pagi tadi selepas digantung pada pukul 3.30 petang, hari sebelumnya. Bagaimanapun, pasaran derivatif tidak terjejas dan terus didagangkan seperti biasa.
Menurut Bursa Malaysia, gangguan itu disebabkan oleh isu teknikal yang mengakibatkan dagangan terhenti pada sistem dagangan Bursa berkenaan.
Bursa Malaysia, yang kekal fokus bagi memastikan gangguan minimum ke atas urus niaga, menegaskan bahawa dagangan itu terhenti bukan disebabkan oleh sebarang masalah berkaitan keselamatan siber dan sistemnya kekal terjamin dan dilindungi.
Tindakan segera telah diambil untuk mengenal pasti masalah itu serta ia sentiasa berhubung dengan semua peserta pasaran dan pada masa sama menentukan punca serta kesannya, katanya. – BERNAMA –SM